KOTA KINABALU
: Kerajaan negeri melancarkan Buku Sistem Jaminan Perundangan Kayu Sabah Plus
(Sabah TLAS+) bagi memastikan perdagangan kayu yang bertanggungjawab serta
perlindungan hutan secara mampan.
Ketua Menteri,
Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata Sabah TLAS+ merupakan sistem pertama di
dunia yang menyatukan keperluan perundangan, bebas penebangan hutan di bawah
Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) serta prinsip kelestarian
sukarela dalam satu rangka kerja bersepadu.
"Sistem
ini dibangunkan sebagai persediaan menghadapi EUDR yang dijangka berkuat kuasa
pada akhir 2026, selain memastikan produk kayu Sabah sah, boleh dijejaki dan
memenuhi penilaian risiko ketat pasaran global.
''Kerajaan
negeri melalui Jabatan Perhutanan Sabah telah bekerjasama dengan Fasiliti
Kerjasama Kesatuan Eropah–Malaysia sejak 2024 bagi menaik taraf sistem sedia
ada, kepada Sabah TLAS+," katanya.
Teks ucapan
beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan
Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.
Menurutnya,
Sabah TLAS+ juga mengintegrasikan kebolehjejakan digital, geolokasi serta
perlindungan sosial dan alam sekitar, selain mematuhi keperluan bebas
penebangan dan degradasi hutan serta prinsip ESG global, menjadikan industri
kayu Sabah lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Hadir sama,
Duta Kesatuan Eropah Di Malaysia, Rafael Daerr; Pembantu Menteri Kepada Ketua
Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun dan Ketua Konservator Hutan Sabah Datuk
Frederick Kugan.
