Anugerah Sukan Negeri Sabah Ke-17 Tawar 16 Kategori Anugerah

 

KOTA KINABALU: Sebanyak 16 kategori anugerah bakal disampaikan sempena Majlis Anugerah Sukan Negeri Sabah Kali Ke-17.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif (KBSK), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata majlis berprestij itu diadakan bagi mengiktiraf kecemerlangan atlet serta kepimpinan sukan negeri ini sepanjang tahun 2023 hingga 2024.

"Ini merupakan penghargaan tertinggi kerajaan negeri kepada atlet, tokoh dan kepimpinan sukan yang telah menunjukkan prestasi cemerlang serta mengharumkan nama Sabah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa," katanya kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman, pada Khamis.

Kunjungan tersebut diadakan bagi menyampaikan jemputan rasmi kepada Tun Musa dan Toh Puan Faridah Tussin sebagai tetamu kehormat sekali gus memeriahkan majlis berkenaan.

Ujar Nizam, kemuncak acara adalah penyampaian tiga anugerah tertinggi iaitu Anugerah Olahragawan Lelaki dan Anugerah Olahragawati Wanita Negeri Sabah serta Anugerah Tokoh Sukan Negeri Sabah.

Katanya, anugerah yang akan disampaikan turut merangkumi atlet berpasukan lelaki dan wanita, atlet harapan, tokoh sukan serta wartawan sukan yang banyak menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan sukan di negeri Sabah.

Majlis Anugerah Sukan Negeri Sabah Kali Ke-17 dijadualkan berlangsung pada 6 Februari dan akan turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Hadir sama dalam kunjungan hormat tersebut ialah Pembantu Menteri KBSK, Datuk Seri Dr Anil Sandhu; Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Mansur Asun; Timbalan Setiausaha Tetap, Adanan @ Adnan Atin; Pengurus Lembaga Sukan Sabah, Syed Ahmad Syed Abas serta Pengarah Majlis Sukan Negeri Sabah, Mohd Asneh Mohd Noor.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama