Sabah sasar jadi hab aktiviti laut dalam negara

KOTA KINABALU: Sabah menyasarkan untuk menjadi hab utama aktiviti laut dalam dan kawasan frontier Malaysia dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, perkara itu selaras dengan peralihan industri minyak dan gas kepada operasi bernilai tinggi dan berteknologi maju.

“Sabah akan memainkan peranan penting dalam aktiviti laut dalam negara. Ini memerlukan keupayaan subsea yang canggih, perkhidmatan telaga bersepadu, pendigitalan dan automasi, serta tenaga kerja yang terlatih untuk menghadapi kompleksiti, bukan sekadar jumlah,” katanya.

Ucapan beliau diwakili oleh Pembantu Menteri Kewangan II, Datuk Mohd Ishak Ayub pada Majlis pengiktirafan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini. 

Beliau menegaskan bahawa kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri Sabah, SMJ Energy dan PETRONAS akan terus diperkukuh bagi memastikan Sabah turut mengambil bahagian dalam rantaian nilai industri.

“Kerajaan negeri komited membangunkan industri yang mampan, inklusif dan berdaya saing demi memastikan Sabah bukan sekadar tuan rumah, tetapi peneraju dalam aktiviti bernilai tinggi,” jelas beliau.

Katanya, langkah ini dijangka mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai destinasi pelaburan pilihan dalam sektor minyak dan gas bernilai tinggi.

“Melalui inisiatif seperti peluasan Program Pembangunan Vendor yang melibatkan lebih banyak syarikat Sabah, membuka akses melebihi RM128 juta kepada pemain tempatan, serta pengiktirafan vendor Sabah yang menceburi skop bernilai tinggi dan bukan tradisional,” tambahnya. 

Sementara itu, beliau turut menambah bahawa Kerajaan Negeri menyasarkan 60% penyertaan Sabah dalam semua aktiviti OGSE melalui kontrak, ekuiti atau usaha sama, dengan sasaran yang jelas dan strategik pada tahun ini.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama