Sabah jadi destinasi pelaburan OGSE, PETRONAS iktiraf 98 vendor tempatan

KOTA KINABALU: Seramai 98 vendor tempatan menerima pengiktirafan daripada PETRONAS dalam sektor Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) atas pencapaian mereka dalam memperkukuh ekosistem industri yang mampan dan berdaya saing. 

Presiden Pengurusan Petroleum Malaysia, Datuk Bacho Pilong berkata, peningkatan jumlah kontrak vendor yang ketara mencerminkan kematangan serta keupayaan industri tempatan yang semakin berkembang.

“Jumlah kontrak yang diraih meningkat daripada 133 pada 2021 kepada 499 pada 2025,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengiktirafan Vendor Tempatan OGSE yang bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Khamis. 

Hadir sama, Naib Presiden Perolehan Kumpulan PETRONAS, Rashidah Alias.

Katanya, sektor OGSE kekal sebagai tunjang ekonomi negara dengan sokongan berterusan Kerajaan Negeri Sabah. 

“Sektor OGSE terus menjadi tunjang ekonomi negara. 

“Dengan sokongan dan kerjasama berterusan bersama Kerajaan Negeri Sabah, kita mampu membina rantaian bekalan OGSE yang lebih berdaya tahan serta meletakkan Sabah sebagai destinasi pelaburan pilihan,” jelasnya. 

Menurutnya, vendor yang menerima pengiktirafan hari ini meliputi pelbagai skop kerja bermula daripada sederhana hingga kompleks.

“Termasuklah penyelenggaraan turbin gas, operasi marin, perkhidmatan penggerudian laut dalam serta kerja-kerja penyelenggaraan dan pengubahsuaian luar pesisir,” tambahnya. 

Sementara itu, dua syarikat Sabah, Seascape Synergy Services Sdn Bhd dan GMB Dynamic Sdn Bhd, diumumkan sebagai peserta baharu Program Pembangunan Vendor (VDP).

“Penyertaan mereka mencerminkan peningkatan standard keupayaan vendor tempatan dari segi keselamatan, kualiti, dan kecemerlangan operasi,” ujar beliau.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama