KOTA KINABALU: Seramai 31 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah dalam operasi penguatkuasaan berasingan yang dijalankan di Kota Kinabalu dan Sipitang, semalam.
JIM Sabah dalam kenyataan berkata, operasi menerusi Ops Sapu, Ops Kutip dan Ops Selera itu dilaksanakan bagi mengesan serta menahan warga asing yang melanggar peruntukan undang-undang imigresen.
Katanya, di Sipitang, seramai 24 warga Filipina ditahan hasil pemeriksaan terhadap 30 individu.
"Mereka terdiri daripada enam lelaki dewasa, tujuh perempuan dewasa, enam kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kanak perempuan.
“Kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini,” menurut kenyataan berkenaan.
Sementara itu, di Kota Kinabalu, tujuh warga asing ditahan selepas pemeriksaan dilakukan terhadap 16 individu.
"Mereka yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki dewasa warga China, seorang lelaki dewasa dan tiga perempuan dewasa warga Filipina serta dua perempuan dewasa yang gagal dikenal pasti kewarganegaraan," katanya.
JIM Sabah menegaskan bahawa pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen sentiasa terpelihara.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau majikan yang didapati melindungi atau menggaji pendatang asing tanpa izin,” katanya.
Dalam pada itu, orang ramai turut diseru agar menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha membanteras kehadiran PATI di negeri ini.

