KOTA KINABALU: Sabah dan Sarawak tidak menuntut sesuatu yang baharu atau berlebihan, sebaliknya hanya menuntut hak yang sewajarnya seperti yang termaktub dalam semangat pembentukan Malaysia.
Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah merangkap Pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah, Azrul Ibrahim berkata, pandangan yang menyuarakan kebimbangan bahawa tuntutan hak kewangan dan hasil negeri boleh menjejaskan kedudukan fiskal Kerajaan Persekutuan wajar dihormati.
Bagaimanapun menurutnya, perbahasan itu perlu diletakkan dalam kerangka yang adil dan berprinsip.
“Apa yang dituntut oleh Sabah dan Sarawak bukanlah sesuatu yang baharu dan bukan juga tuntutan berlebihan.
"Ia adalah hak yang sewajarnya diperoleh seperti yang terkandung dalam asas pembentukan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, antara isu dibangkitkan ketika ini ialah hak Sabah terhadap pemberian khas Persekutuan serta pendirian Sarawak berhubung kesahihan perlembagaan dan pemakaian undang-undang berkaitan petroleum.
Katanya, secara matematik, sebarang pelarasan yang memihak kepada hak negeri sememangnya memberi implikasi kepada jumlah hasil Persekutuan.
“Namun persoalan asasnya, adakah pertimbangan fiskal harus terus dijadikan alasan untuk menangguhkan hak yang telah sekian lama tertangguh?” soalnya.
Azrul menegaskan, selepas lebih lima dekad pembentukan Malaysia, jurang pembangunan antara Sabah dan Sarawak berbanding negeri di Semenanjung masih jelas kelihatan.
Menurutnya, di Sabah khususnya, isu asas seperti bekalan air bersih, elektrik dan jaringan jalan raya masih menjadi cabaran harian rakyat, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Masih terdapat kampung yang tidak dapat diakses melalui jalan darat, sistem perhubungan antara daerah belum tersusun secara menyeluruh serta capaian internet yang jauh ketinggalan.
“Projek Lebuhraya Pan Borneo pula hanya bermula sekitar 2017, sedangkan negeri di Semenanjung telah lama menikmati sistem perhubungan fizikal bertaraf moden,” katanya.
Beliau berkata, peruntukan penyelenggaraan jalan Persekutuan yang tidak mencukupi turut memburukkan keadaan apabila keperluan sebenar jauh melebihi jumlah diluluskan.
Sehubungan itu, katanya, Sabah memerlukan suntikan dana lebih besar dan fleksibiliti pentadbiran lebih luas untuk mengurus serta menyelesaikan masalah legasi yang berlarutan sekian lama.
“Ini bukan soal retorik politik, tetapi soal tanggungjawab terhadap rakyat yang masih berdepan kekurangan asas dalam kehidupan seharian.
“Pembangunan Sabah dan Sarawak tidak seharusnya dilihat sebagai beban fiskal, sebaliknya pelaburan strategik untuk memperkukuh kekuatan ekonomi negara secara keseluruhan,” katanya.
Azrul berkata, kerajaan negeri tidak pernah berniat untuk melemahkan kedudukan kewangan Persekutuan, sebaliknya percaya formula lebih adil dan pragmatik boleh direncanakan melalui rundingan matang serta semangat federalisme yang tulen.
“Kita tidak meminta lebih daripada yang sewajarnya. Kita hanya menuntut hak yang telah lama menjadi asas kepada penyertaan dalam Persekutuan,” katanya.
