![]() |
| Jamawi menyantuni mangsa banjir di PPS DUN Melalap. |
TENOM: Hampir 1,500 penduduk terjejas banjir terpaksa meninggalkan rumah mereka dan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap, di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Jamawi Jaafar berkata pihaknya mempergiat bantuan banjir bagi memastikan kesemua mangsa memperoleh keperluan asas yang cukup.
“12 PPS dibuka bagi menempatkan kira-kira 450 ketua isi rumah yang dikawal selia dengan rapi untuk keselamatan dan keselesaan mangsa banjir.
“Penyaluran bekalan makanan, air bersih, kit kebersihan serta barang keperluan harian turut diberikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah menjelaskan Tenom telah mengalami tiga kejadian banjir sejak awal tahun, menambah tekanan kepada penduduk dan pihak berkuasa.
“Kerjasama Pejabat Daerah Tenom, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menjadi faktor utama kelancaran operasi bantuan,” jelasnya.
Selain bantuan kecemasan, penilaian keperluan susulan turut dijalankan termasuk kerja pembersihan rumah, penilaian kerosakan harta benda serta penyaluran bantuan pemulihan.
“Penduduk dinasihatkan supaya sentiasa memantau keadaan cuaca dan mematuhi arahan pihak berkuasa.
“Kerajaan Negeri akan memastikan segala bantuan dan sokongan diberikan secara berterusan sehingga keadaan kembali pulih sepenuhnya,” ujarnya.
