KOTA KINABALU: Kota Kinabalu mencuri tumpuan ramai hari ini, apabila Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menjadi tuan rumah lawatan Miss World 2025, Opal Suchata, dan Miss World Malaysia 2025, Taanusiya Chetty.
Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Sabin Samitah berkata, kehadiran ikon global ini membawa mesej penting mengenai tanggungjawab sosial dan kepentingan pemeliharaan alam sekitar.
“Kehadiran mereka memberi makna kepada usaha kita mempromosikan bandar ini sebagai destinasi pelancongan yang menghargai sejarah dan budaya tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program A Timeless Commitment: Heritage And Environmental Preservation With Miss World 2025 yang bertempat di Signal Hall, di sini, hari ini.
Menurutnya, ikon global ini juga berperanan sebagai duta kecantikan yang dilihat memberi inspirasi kepada masyarakat tempatan terutama wanita untuk berperanan aktif dalam komuniti.
“Walaupun inisiatif ini bermula di peringkat bandar, mesejnya melangkaui jauh, ke peringkat negeri, negara, dan komuniti global.
“Ia menunjukkan bagaimana tindakan sederhana, yang berpandukan nilai bersama, dapat membawa makna merentas sempadan dan generasi,” jelasnya.
Sementara itu, Miss World 2025, Opal Suchata memuji keindahan bandar Kota Kinabalu yang dilihat cantik pada alam semula jadi, masyarakat yang memelihara budaya serta warisan.
“Sejak tiba di sini, saya menyedari bahawa kita berkongsi banyak persamaan bermula dari cuaca, rakyat yang ramah dan baik hati serta keupayaan masyarakat memelihara budaya, warisan dan alam sekitar,” katanya.
Miss World Malaysia 2025, Taanusiya Chetty turut menyifatkan rasa gembira dan terharu sepanjang berada di Kota Kinabalu dengan sambutan mesra dan keindahan bandar tersebut ketika matahari terbenam.
“Sudah tentu, untuk menikmati matahari terbenam yang indah, ia datang dengan usaha kita menjaga alam semula jadi,” tambahnya.
