KOTA KINABALU: Ramai beranggapan budaya Malaysia lebih menekankan orang Melayu semata-mata, namun keunikan Sabah jelas berbeza apabila semua perayaan diraikan bersama tanpa mengira kaum dan agama.
Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Datuk Sr. Lifred Wong berkata, negeri ini menjadi contoh terbaik keharmonian apabila sambutan Tahun Baharu Cina, Krismas, Hari Raya Aidilfitri hingga Pesta Kaamatan diraikan dalam suasana penuh muhibah.
Katanya, kepelbagaian itu bukan sekadar simbolik, sebaliknya mencerminkan hubungan antara kaum yang semakin erat dan saling menghormati.
“Ramai yang sangka budaya Malaysia lebih menekankan orang Melayu sahaja, tetapi uniknya Sabah, kami meraikan semua perayaan dari Tahun Baharu Cina, Krismas, Hari Raya hingga Pesta Menuai.
"Ini menunjukkan kepelbagaian budaya yang wajar dibanggakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Malam Mesra Karnival CNT di Lintasan Deasoka, di sini, semalam.
Menurutnya, penganjuran acara kebudayaan seperti itu bukan sahaja memeriahkan bandar raya, malah menjadi platform mempromosikan identiti sebenar Sabah kepada pelancong luar negara.
“Malam ini kita dapat lihat sendiri pengunjung dari China kagum kerana tradisi pelbagai kaum di Sabah masih dikekalkan dan diraikan bersama.
“Ini peluang untuk mereka merasai sendiri pengalaman budaya tempatan, sekali gus memperkenalkan Sabah sebagai destinasi pelancongan berasaskan warisan dan kepelbagaian kaum,” katanya.
Lifred berkata, sokongan gabungan Persatuan Cina Sabah dan kerjasama pelbagai pihak amat penting dalam memastikan tradisi terus dipelihara serta diwarisi generasi muda.
Katanya, pengekalan budaya bukan sekadar untuk berbangga, tetapi menjadi asas membentuk masyarakat yang lebih kukuh dan harmoni.
“Apabila kita memahami dan menghormati budaya kaum lain, hubungan antara masyarakat akan menjadi lebih erat. Inilah kekuatan sebenar Sabah,” katanya.
Beliau yakin dengan komitmen berterusan semua pihak, program seumpama itu mampu memperkukuh perpaduan serta menampilkan Sabah sebagai negeri yang kaya dengan kepelbagaian budaya dalam suasana aman dan harmoni.
