TAWAU: Seorang penunggang motosikal maut selepas digilis tayar belakang sebuah lori dalam kemalangan ngeri di Jalan Tawau-Bombalai, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.15 petang itu, mangsa lelaki berusia 25 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Champin Piuh berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan berkenaan kira-kira jam 3.40 petang.
Menurutnya, kemalangan membabitkan sebuah lori jenis Rigid yang dipandu lelaki berusia 34 tahun dan sebuah motosikal jenis Honda RS.
“Siasatan awal mendapati pemandu lori berkenaan sedang dalam perjalanan dari Kuari PBJ, Batu 9 Jalan Apas menuju ke Gudang Empat.
“Selepas melalui Bulatan Jambatan Putih, lori itu memasuki Jalan Tawau-Bombalai dengan keadaan jalan basah akibat hujan renyai-renyai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Champin berkata, pada masa sama, penunggang motosikal dari arah bertentangan iaitu dari Felda Umas menuju ke Tawau dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan kiri jalan.
“Akibat terbabas, mangsa tercampak ke laluan lori dan terkena tayar belakang sebelah kanan kenderaan berat itu,” katanya.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian.
Sehubungan itu, Champin menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati terutama ketika hujan dan keadaan jalan licin bagi mengelakkan kemalangan maut.

