TUARAN: Sejumlah RM559.85 juta telah diperuntukkan kepada Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) pada tahun ini untuk meningkatkan keterjaminan makanan dan Kadar Sara Diri (SSR) bagi tanaman makanan negeri Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata bahawa di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0), sektor pertanian kekal sebagai salah satu daripada tiga tonggak utama yang memacu pertumbuhan ekonomi negeri.
“Ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan sekuriti makanan kekal kukuh.
“Seperti yang kita sedia maklum, isu keterjaminan makanan telah menjadi agenda utama di peringkat global dan nasional,” katanya, sambil menyatakan bahawa perubahan iklim, ketidaktentuan ekonomi, gangguan rantaian bekalan dan peningkatan kos sara hidup memerlukan pendekatan baharu yang lebih praktikal, berdaya tahan dan inklusif.
“Oleh itu, sektor pertanian, perikanan dan industri makanan akan terus menjadi nadi kepada pembangunan sosio-ekonomi Sabah,” katanya pada pelancaran Jelajah Kebun Dapur MAFFI di Padang Istiadat, di sini hari ini.
Ketua Menteri berkata beberapa inisiatif sedang dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian Sabah, sebagai agensi utama yang bertanggungjawab untuk pembangunan subsektor tanaman antaranya Pembangunan Zon Pengeluaran Tanaman Makanan Kekal di 15 buah Taman Kekal Pengeluaran Makanan di negeri ini.
Selain itu, sebanyak RM3 juta diperuntukkan kepada Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) bagi Perbelanjaan Mengurus, manakala RM15 juta lagi untuk perolehan jentera menuai dan pembajakan padi, katanya.
“Inisiatif ini adalah untuk menjadikan Sabah sebagai pengeluar padi dan beras yang mampan, berdaya saing, serta untuk menjamin sekuriti makanan dengan sasaran 60 peratus Tahap Sara Diri (SSL) menjelang tahun 2030,” katanya.
Hajiji yakin bahawa tiga tonggak pembangunan ekonomi negeri iiaitu perindustrian, pertanian dan pelancongan akan meningkat dalam tempoh lima tahun di bawah Hala Tuju SMJ 2.0.
Namun, beliau berkata keterjaminan makanan bukanlah tanggungjawab ladang -ladang atau projek berskala besar semata-mata.
“Ia juga bermula di peringkat akar umbi iaitu di laman rumah kita sendiri dan dalam konteks ini, inisiatif Kebun Dapur di bawah program Revolusi Ekonomi Luar Bandar merupakan salah satu strategi yang bukan sahaja berfokus kepada pengeluaran makanan, tetapi turut menekankan aspek pengurangan kos sara hidup serta pembentukan komuniti yang lebih berdikari dan mampan,” katanya
Jelajah Kebun Dapur, yang akan dilaksanakan di seluruh negeri Sabah, bertujuan memastikan inisiatif ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat, termasuk mereka di kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman.
“Oleh itu, saya mahu melihat Tuaran muncul sebagai ‘Daerah Kebun Dapur Model’, di mana inisiatif ini bukan sahaja dilaksanakan, tetapi benar-benar menjadi sebahagian daripada cara hidup komuniti.
“Saya berharap setiap kampung, kawasan perumahan dan komuniti akan mengambil peluang ini untuk mengusahakan kebun dapur mengikut kemampuan dan kreativiti masing-masing,” katanya.
Hajiji berkata Jelajah Kebun Dapur mengguna pakai pendekatan mentor–mentee, di mana usahawan yang berjaya dan berpengalaman akan membimbing serta menasihati komuniti setempat.
“Pendekatan ini bukan sahaja memastikan pemindahan pengetahuan dan amalan terbaik secara berterusan, tetapi juga memperkukuh pelaksanaan di peringkat akar umbi serta membina rangkaian sokongan berasaskan komuniti,” katanya.
Beliau juga menggesa golongan belia di negeri ini, khususnya di Tuaran, supaya merebut peluang yang ditawarkan melalui siri jelajah tersebut untuk mempelajari teknik pertanian pintar yang menggabungkan inovasi dan teknologi, yang dapat menjana pendapatan tambahan.
