KPDN pantau ketat harga barang menjelang Ramadan, Aidilfitri

PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Ops Pantau 2026 bermula 19 Februari hingga 20 Mac ini bagi memastikan bekalan barangan asas mencukupi serta harga kekal terkawal menjelang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

Menterinya, Armizan Mohd Ali berkata, operasi berkenaan memberi fokus kepada pemeriksaan dan pemantauan lebih kerap di seluruh negara termasuk Sabah, khususnya di lokasi tumpuan orang ramai seperti bazar Ramadan dan Aidilfitri.

Menurutnya, antara tumpuan utama Ops Pantau ialah memastikan bekalan serta harga barangan keperluan seperti gula, ayam, telur ayam, minyak masak, tepung gandum, barangan basah dan bahan membuat kuih-muih berada dalam keadaan stabil serta mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan.

“Pegawai penguat kuasa akan digerakkan ke lokasi strategik seperti pasar awam, pasar basah, pasar pagi, pasar malam, pasar tani, pasar raya besar, pasar mini, kedai runcit dan platform e-dagang.

“Kita mahu pastikan semua barangan dijual mempunyai tanda harga, tiada unsur pencatutan dan barangan kawalan dijual mengikut harga yang diwartakan termasuk di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri 2026,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Pembukaan Burger King Benoni Pandu Lalu dan penyerahan sumbangan bakul makanan sempena Tahun Baharu Cina, di sini, hari ini. 

Armizan berkata, KPDN turut bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memastikan peniaga bazar mematuhi undang-undang sepanjang tempoh operasi.

Katanya, mana-mana peniaga yang didapati melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723).

“Bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga, individu boleh didenda sehingga RM50,000 atau dikompaun sehingga RM25,000, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM100,000 atau dikompaun sehingga RM50,000.

“Kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum pula boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, atau dikompaun sehingga RM50,000. Bagi syarikat, denda boleh mencecah RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000,” katanya.

Sebagai rekod, Ops Pantau 2025 merekodkan 70,906 pemeriksaan di seluruh negara dengan 3,403 daripadanya di Sabah, membabitkan 37 kes dan nilai rampasan sebanyak RM42,878.52.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai supaya menjadi mata dan telinga kerajaan menerusi kempen KITA GEMPUR dengan menyalurkan aduan sekiranya terdapat ketidakpatuhan.

“Kerjasama semua pihak penting bagi memastikan pengguna terus dilindungi dan peniaga menjalankan perniagaan secara beretika sepanjang Ramadan dan musim perayaan,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama