Pihak mahu sertai GRS perlu kembali kepada empat teras perjuangan – Armizan

PAPAR: Mana-mana pihak yang berhasrat menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu kembali kepada empat teras perjuangan yang menjadi asas penubuhan gabungan berkenaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penyertaan dalam mana-mana parti komponen GRS tidak boleh dibuat atas sentimen semata-mata, sebaliknya perlu selari dengan prinsip perjuangan yang telah dipersetujui.

Menurutnya, empat teras utama iaitu Sabah First, Sabah Prosper, Sabah Forward dan Sabah United harus menjadi pegangan kepada sesiapa sahaja yang mahu bersama gabungan tersebut.

“Saya tidak bercakap mewakili GRS atau mana-mana parti komponen. Perkara ini juga tidak pernah dibincangkan secara rasmi.

“Namun secara peribadi, saya berpandangan mana-mana pihak yang ingin menyertai parti-parti komponen tempatan dalam GRS perlu kembali kepada empat teras perjuangan ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Papar berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Pembukaan Burger King Benoni Drive-Thru dan Penyerahan Sumbangan Bakul Makanan sempena sambutan Tahun Baharu Cina, di sini, hari ini. 

Mengulas spekulasi yang tular membabitkan nama pemimpin tertentu termasuk Datuk Seri Ronald Kiandee, Armizan menyifatkan perkara itu masih di peringkat andaian.

Katanya, setiap individu mempunyai hak untuk menentukan hala tuju politik masing-masing dan keputusan seumpama itu tidak wajar dibuat berdasarkan spekulasi.

“Sebagai seorang ahli politik kanan, saya tidak fikir keputusan besar seperti itu dibuat secara tergesa-gesa.

“Apa yang penting, jika ada mana-mana pihak mahu bersama GRS, mereka perlu komited terhadap agenda memperkukuh suara Sabah melalui parti politik tempatan,” katanya. 

Armizan berkata, kekuatan Sabah akan lebih terserlah sekiranya semua pihak yang memperjuangkan agenda negeri dapat bersatu di bawah landasan yang sama.

“Apabila kita berada dalam landasan parti politik lokal, suara kita lebih kuat. Kita hanya akan kukuh apabila bersatu,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama