KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah menegaskan tidak pernah melantik mana-mana ejen atau pihak ketiga bagi menguruskan permohonan Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (RMSMJ).
Dalam kenyataan hari ini, kementerian itu memaklumkan semua urusan permohonan program berkenaan hanya dikendalikan secara rasmi menerusi pejabat kerajaan yang berkaitan.
Menurutnya, Pejabat-Pejabat Daerah, Daerah Kecil, Majlis Perbandaran serta Dewan Bandaraya Kota Kinabalu adalah pihak yang diberi kuasa menguruskan permohonan RMSMJ di kawasan masing-masing.
“Kementerian serta Pejabat-Pejabat Daerah/Daerah Kecil/Majlis Perbandaran/Dewan Bandaraya Kota Kinabalu tidak pernah melantik mana-mana ejen atau pihak ketiga bagi menguruskan permohonan Program RMSMJ.
“Orang awam dinasihatkan supaya tidak berurusan dengan mana-mana individu atau pihak yang mengaku sebagai wakil atau ejen bagi program ini,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut atau ingin membuat permohonan diminta merujuk terus ke pejabat daerah atau pihak berkuasa tempatan di daerah masing-masing bagi memastikan maklumat diperoleh adalah sahih dan terkini.
"Kementerian turut mengingatkan orang awam supaya sentiasa berwaspada bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan berkaitan program perumahan berkenaan," katanya.
![]() |
| Sumber: KPLB Sabah |

