Sabah, pedalaman wajar diberi keutamaan pengambilan 20,000 guru - Pemuda Gagasan Rakyat

 

KOTA KINABALU: Sabah dan kawasan pedalaman wajar diberi keutamaan dalam pengambilan 20,000 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG9 secara kontrak seperti diumumkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). 

Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Azrul Ibrahim, berkata langkah kerajaan membuka permohonan pengambilan guru baharu itu disambut baik, namun pelaksanaannya perlu dibuat secara lebih bersasar dengan mengambil kira keperluan sebenar negeri ini.

Menurutnya, Sabah masih berdepan kekurangan guru tempatan, khususnya di sekolah luar bandar dan pedalaman, sekali gus menjejaskan kesinambungan pengajaran dan pembelajaran.

“Keutamaan wajar diberikan kepada anak jati Sabah kerana mereka lebih memahami latar belakang sosio-budaya serta cabaran geografi setempat. 

"Pendekatan ini juga dapat mengurangkan isu pertukaran guru yang kerap,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, calon yang memiliki ikhtisas pendidikan perlu diberi keutamaan bagi memastikan kualiti dan profesionalisme pengajaran dapat dipertingkatkan sejak peringkat awal penempatan.

Selain itu, katanya, bagi sekolah di kawasan pedalaman, calon yang berasal atau menetap berhampiran kawasan terbabit perlu diutamakan bagi mengurangkan masalah mobiliti serta kekosongan jawatan.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan kestabilan operasi sekolah dan kesinambungan pembelajaran murid, khususnya di kawasan pedalaman,” katanya.

Azrul berkata, Pemuda Gagasan Rakyat percaya pengambilan guru yang lebih inklusif dan sensitif kepada keperluan wilayah seperti Sabah akan memperkukuh sistem pendidikan negara serta memastikan pelaburan kerajaan dalam sektor pendidikan memberi impak yang lebih berkesan kepada rakyat.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama