33,400 aduan penipuan atas talian sejak 2023, KPDN rancang wujudkan ODR

KUALA LUMPUR: Sebanyak 33,400 aduan penipuan atas talian membabitkan transaksi jual beli direkodkan sejak 2023 hingga 2025, menjadikannya kategori aduan tertinggi diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata jumlah itu adalah sebahagian daripada 136,082 aduan pelbagai kategori yang diterima kementerian berkenaan dalam tempoh sama, dengan 83,239 aduan berada dalam bidang kuasa KPDN.

Menurutnya, antara bentuk penipuan atas talian yang sering dilaporkan termasuk harga barangan atau perkhidmatan mengelirukan, tidak menerima barangan dibeli, barangan tidak menepati tawaran, penjualan barangan tiruan serta cetak rompak dalam talian, selain penajaan skim piramid melalui platform digital.

“Kes-kes ini disiasat mengikut peruntukan undang-undang berkaitan termasuk Akta Perlindungan Pengguna 1999, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993, bergantung kepada jenis kesalahan,” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Armizan berkata, sepanjang tempoh 2023 hingga 2025, sebanyak 1,136 kes dihasilkan melibatkan pelbagai kesalahan dengan jumlah kompaun RM880,625, manakala dua kes di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 didakwa di mahkamah dengan jumlah denda RM16,500.

Beliau berkata, susulan kadar aduan penipuan atas talian yang masih tinggi, KPDN kini merangka reformasi undang-undang e-dagang termasuk penubuhan Platform Penyelesaian Pertikaian Atas Talian (Online Dispute Resolution – ODR) yang akan dikawal selia kerajaan.

“Berbeza dengan kaedah penyelesaian pertikaian sedia ada yang masih melibatkan proses fizikal, ODR akan menggunakan sepenuhnya platform digital bagi memudahkan rundingan, mediasi, timbang tara dan pendengaran kes.

“Pelaksanaan ODR akan dimulakan dengan kes dalam bidang kuasa KPDN sebelum diperluaskan ke seluruh ekosistem e-dagang negara, sekali gus memperkukuh perlindungan pengguna serta memastikan perniagaan dalam talian lebih telus dan berdaya saing,” katanya. 


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama