KOTA KINABALU: Kebersihan dan keindahan sesebuah daerah bukan sekadar tanggungjawab pihak berkuasa tempatan, sebaliknya menjadi cerminan langsung kepada kualiti kepimpinan di kawasan berkenaan.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Merangkap Exco Agama, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif menegaskan bahawa sempena pelancaran Pelan Strategik Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (JHEANS), pemimpin akar umbi berperanan penting dalam memastikan persekitaran komuniti sentiasa bersih, indah dan terurus.
“Jangan kita terlepas daripada tanggungjawab ini, selain daripada menjaga organisasi di luar organisasi juga harus mencerminkan adat kita.
“Salah satu adat pertama kita ialah menjaga keindahan, menjaga kebersihan.
“Orang akan mengukur kepimpinan seseorang melalui keadaan kampung dan daerahnya.
“Daerah yang bersih dan indah mencerminkan kepimpinan yang berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pelancaran Strategik Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah yang bertempat di Hotel Marriott, di sini, hari ini.
Hadir sama pada majlis berkenaan, Pembantu Menteri I Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Fairuz Renndan dan Pembantu Menteri II Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Maijol Mahap.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru barisan kepimpinan agar berganding bahu memastikan kampung, desa, daerah, pekan dan bandar sentiasa bersih.
Menurutnya, kepimpinan bukan sahaja dinilai melalui pentadbiran organisasi, malah turut dilihat melalui pengurusan kemudahan awam termasuk kebersihan di rumah ibadat.
“Saya melihat kepimpinan jawatankuasa masjid bukan sahaja melalui kecekapan mengurus pentadbiran masjid, tetapi juga melalui keadaan tandas dan bilik air di masjid berkenaan.
“Hal ini mencerminkan kualiti kepimpinan dan jawatankuasa masjid tersebut. Demikian juga dengan rumah ibadat yang lain,” jelasnya.
