Sabah pastikan 9 kriteria dipenuhi sebelum ambil alih kuasa buangan terjadual

 

KUALA LUMPUR: Kerajaan Sabah akan memastikan semua sembilan kriteria kesediaan dipenuhi sepenuhnya sebelum peralihan kuasa pengurusan buangan terjadual dilaksanakan pada November ini. 

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, berkata perkara itu antara fokus utama dalam usaha memperkukuh autonomi negeri berkenaan selaras dengan peruntukan Perkara 95C Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, komitmen itu dibincangkan dalam kunjungan hormat beliau ke atas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, bagi memperhalusi pelaksanaan pengurusan buangan terjadual di Sabah.

“Sabah akan memastikan kesemua sembilan kriteria kesediaan dipenuhi termasuk aspek perundangan, infrastruktur teknikal, sistem pelaporan dalam talian serta kapasiti sumber manusia sebelum peralihan kuasa dilaksanakan sepenuhnya.

“Kita mahu proses ini berjalan lancar dan penguatkuasaan undang-undang alam sekitar dapat dilaksanakan dengan lebih cekap serta menepati keperluan tempatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pertemuan itu turut membabitkan pihak Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sebagai agensi Persekutuan yang bertanggungjawab terhadap pengurusan alam sekitar.

Menurutnya, langkah memperkukuh kuasa negeri dalam aspek pengurusan alam sekitar adalah sejajar dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang memberi ruang kepada Sabah mengurus perkara tertentu mengikut keperluan sendiri.

Beliau berkata, kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan penting bagi memastikan peralihan kuasa itu memberi manfaat maksimum kepada rakyat.

“Saya yakin dengan sinergi antara NRES, Kerajaan Negeri Sabah dan Jabatan Perlindungan Alam Sekitar, kita mampu memperkukuh pengurusan alam sekitar yang lebih mampan dan berdaya tahan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Arthur dan kepimpinan NRES atas sokongan berterusan dalam menjayakan agenda berkenaan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama