MUIS terima sijil perakuan bomba, lebih RM15 juta dibelanja naik taraf keselamatan

Arifin meyaksikan penyerahan sijil perakuan bomba (FC) di antara pihak JBPM dan MUIS. 


KOTA KINABALU: Selepas lebih 40 tahun beroperasi, bangunan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) kini memperoleh Sijil Perakuan Bomba (FC) dengan membelanjakan lebih 15 juta untuk proses naik taraf secara menyeluruh melibatkan aspek keselamatan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap EXCO Agama, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, MUIS telah melaksanakan penambahbaikan merangkumi sistem peralatan keselamatan, kelengkapan pencegahan dan pemadaman kebakaran.

“Kita telah membelanjakan lebih daripada 15 juta sepanjang lima tahun ini untuk melengkapkan tiga perkara tadi.

“Perkara yang sangat penting ialah aspek amalan dan latihan, khususnya dalam kalangan kakitangan bagi memastikan tahap kesiapsiagaan sentiasa berada pada tahap optimum.

“Termasuklah, menyediakan kemudahan untuk keselesaan pengguna di bangunan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis penyerahan sijil perakuan bomba dari JBPM Sabah kepada MUIS yang bertempat di Wisma MUIS, di sini, pada Selasa.

Sijil berkenaan disampaikan oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Mohd Pisar Aziz kepada Timbalan Yang Dipertua MUIS, Datuk Malai Ali Malai Ahmad.

Menurutnya, antara kerja naik taraf yang dilaksanakan termasuk penggantian 12 unit lif baharu, pembaharuan eskalator, pembaikan bumbung yang mengalami kebocoran serta pematuhan sepenuhnya terhadap keperluan teknikal yang ditetapkan pihak JBPM.

“Bangunan berkenaan yang telah melebihi empat dekad pembinaannya pernah memperoleh sijil perakuan sebelum ini, dengan pembaharuan terakhir pada tahun 1990.

“Bagaimanapun, bagi tujuan pembaharuan semula, pihak MUIS perlu memenuhi syarat dan piawaian keselamatan terkini yang ditetapkan JBPM,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah JBPM Sabah, Mohd Pisar Aziz turut menyatakan bahawa setiap premis ditetapkan wajib memiliki sijil berkenaan sebagai dokumen rasmi bagi menjamin keselamatan bangunan di bawah Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341).

“Sijil berkenaan merupakan jaminan keselamatan yang memberi keyakinan kepada semua penghuni dan pengguna bangunan bahawa sistem pepasangan keselamatan kebakaran telah diperiksa, disahkan, dan berada dalam keadaan baik.

“Ia juga menjadi simbol tanggungjawab bersama dalam melindungi nyawa dan harta benda daripada ancaman kebakaran,” ujarnya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama