Bapa, anak ditahan kes bunuh wanita dikerat tujuh bahagian di Indah Permai

 


KOTA KINABALU : Polis menahan dua beranak termasuk suspek utama kes pembunuhan kejam seorang wanita yang mayatnya dikerat tujuh bahagian sebelum dibuang di beberapa lokasi pembuangan sampah di Taman Indah Permai, Sepanggar, di sini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata suspek kedua, lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an, ditahan kira-kira 11 malam tadi. 

Operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Bantuan Teknikal D8 JSJ IPK serta Ronda Cegah Jenayah Balai Polis Luyang.

Beliau berkata penahanan itu susulan tangkapan bapanya yang berusia lingkungan 70-an pada kira-kira 5 petang semalam, kurang 24 jam selepas penemuan mayat mangsa.

“Suspek kedua ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Sebelum ini, suspek utama berjaya dikesan dan ditahan. Setakat ini motif kejadian dipercayai cemburu,” katanya.

Mengulas lanjut Syed Lot berkata, kes berkenaan dianggap selesai namun siasatan lanjut masih diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Terdahulu, wanita berusia lingkungan 40-an itu ditemui dalam keadaan anggota badannya dikerat dan dibuang berasingan di beberapa lokasi sekitar kawasan perumahan berkenaan, dengan penemuan awal membabitkan tangan serta kaki pada kira-kira 6.30 pagi sebelum kepala dan badan mangsa ditemukan pada 11.40 pagi di lokasi berhampiran.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama