KOTA KINABALU: Sabah FC merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada mantan Pengurus Besarnya, Md. Joh Wid atas kepimpinan, sumbangan serta komitmen tinggi yang dicurahkan sepanjang bersama kelab itu.
Dalam kenyataan hari ini, Sabah FC memaklumkan Md. Joh Wid telah menamatkan perkhidmatannya secara rasmi pada 31 Januari 2026 selepas memainkan peranan penting dalam pengurusan dan pembangunan kelab.
Menurut kenyataan berkenaan, dedikasi beliau bukan sahaja membantu memperkukuh struktur pengurusan pasukan, malah memberi impak positif terhadap hala tuju dan prestasi keseluruhan Sabah FC.
“Jasa dan bakti beliau sepanjang bersama Sabah FC amat dihargai dan akan terus dikenang oleh seluruh warga kelab serta penyokong,” menurut kenyataan itu.
Sabah FC turut mendoakan agar Md. Joh Wid terus maju jaya serta melakar lebih banyak kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi pada masa hadapan.
Kelab itu menegaskan sumbangan beliau akan kekal menjadi sebahagian daripada sejarah perjalanan Sabah FC.
