KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah kini
melangkah lebih berani ke arah kepolisan masa depan dengan menekankan
penggunaan teknologi seperti Artificial Intelligence (AI) dan pengukuhan
integriti pasukan sebagai teras operasi.
Tujuh hala tuju strategik dan 10 agenda Transformasi PDRM
2026 digariskan sebagai asas utama untuk memperkukuh keselamatan awam,
memantapkan integriti anggota, serta mengukuhkan kepercayaan rakyat terhadap
institusi kepolisan.
Pesuruhjaya Polis Sabah, CP Datuk Jauteh Dikun berkata,
landskap keselamatan masa kini menuntut pendekatan baharu yang lebih progresif,
seiring perkembangan teknologi, perubahan corak jenayah dan jangkaan masyarakat
yang semakin tinggi.
“Pendekatan kepolisan tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya
kepada kaedah konvensional. Kita mesti bergerak seiring perubahan zaman, tanpa
mengabaikan nilai asas kepolisan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada
Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sabah bagi bulan Februari 2026, di
dataran kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah (IPK Sabah), hari ini.
Menurutnya, antara fokus utama PDRM Sabah ialah penggunaan
kecerdasan buatan (AI), analitik data serta pendigitalan menyeluruh dalam aspek
siasatan, pemantauan jenayah dan pembuatan keputusan strategik.
“Pendekatan ini diyakini mampu meningkatkan ketepatan
tindakan kepolisan, mempercepatkan proses siasatan serta menyokong pendakwaan
yang lebih berkesan, sekali gus memastikan perkhidmatan kepada rakyat menjadi
lebih cekap, telus dan berimpak tinggi,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa penggunaan teknologi tersebut akan
dilaksanakan secara beretika dan terkawal, dengan penekanan serius terhadap
perlindungan privasi serta keselamatan data awam.
Jauteh memaklumkan bahawa integriti dan tadbir urus kekal
sebagai nadi utama PDRM, tanpa sebarang kompromi terhadap salah guna kuasa atau
pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).
“Setiap pemimpin perlu menunjukkan teladan. Integriti bukan
sekadar slogan, tetapi amalan yang mesti dizahirkan dalam setiap keputusan dan
tindakan,” tegasnya.
Beliau turut menekankan kepentingan pembangunan modal insan
dan kebajikan anggota, merangkumi kesejahteraan fizikal, mental dan emosi,
sebagai teras membina pasukan yang berdaya tahan dan profesional.
Jauteh menjelaskan keperluan komunikasi strategik yang
pantas, telus dan berfakta bagi memastikan PDRM terus diyakini serta dihormati
masyarakat.
“Kerjasama erat bersama komuniti, agensi kerajaan, sektor
swasta dan rakan antarabangsa akan terus diperkukuhkan, khususnya dalam
menangani ancaman keselamatan rentas sempadan termasuk jenayah siber dan
jenayah transnasional,” tambahnya.
Perhimpunan berkenaan dianjurkan oleh Jabatan Siasatan
Jenayah Sabah dan dihadiri barisan kepimpinan kanan PDRM negeri.
