Kanak-kanak 6 tahun rentung, dua rumah dan tiga kenderaan musnah terbakar

TAMBUNAN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun ditemukan rentung dalam kebakaran yang memusnahkan dua rumah dan tiga kenderaan di Kampung Patau, awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan, Mitchell Francis George berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.08 pagi sebelum jentera pertama tiba di lokasi kira-kira jam 4.26 pagi, selepas menempuh jarak 16 kilometer.

“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati kebakaran melibatkan dua rumah jenis separuh kekal serta tiga buah kenderaan.

"Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 4.40 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, seorang mangsa kanak-kanak perempuan ditemukan rentung di dalam sebuah bilik dan mayatnya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Katanya, seorang lagi mangsa wanita berusia 31 tahun mengalami kecederaan ketika cuba menyelamatkan diri dan telah dihantar ke hospital menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.

Mitchell berkata, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan tiga pancutan air, bersumberkan jentera bomba serta pili bomba berhampiran.

“Kebakaran menyebabkan sebuah rumah satu tingkat berkeluasan 40 x 50 kaki persegi musnah 100 peratus, manakala sebuah lagi rumah separuh kekal berkeluasan sama terbakar 90 peratus.

“Selain itu, tiga kenderaan iaitu sebuah Toyota Avanza, sebuah van dan sebuah Perodua Alza turut musnah sepenuhnya dalam kejadian berkenaan,” katanya.

Katanya, operasi pemadaman dan pemeriksaan keselamatan ditamatkan sepenuhnya pada jam 7 pagi selepas dipastikan tiada lagi bahaya di lokasi.

"Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama