Sabah Catat 1,910 Kes Kebakaran, Kerugian RM145 Juta Sepanjang 2025

 

KOTA KINABALU: Statistik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah merekodkan 1,910 kes kebakaran membabitkan kehilangan 13 nyawa dengan kerugian mencecah RM145 juta pada 2025 di seluruh negeri.

Pengarah JBPM Sabah, Mohd Pisar Aziz berkata daripada jumlah itu, kebakaran struktur menyumbang 42 peratus manakala 692 kes berpunca daripada nyalaan elektrik menjadikannya punca utama kebakaran di rumah. 

"Data ini menegaskan kepentingan dan kepekaan terhadap risiko kebakaran khususnya akibat penggunaan elektrik di rumah.

"Pencegahan awal dan pemantauan rutin seperti memastikan suis elektrik dan peralatan rumah dalam keadaan selamat sebelum ditinggalkan dapat mengurangkan risiko kebakaran.

“Musim perayaan memang dinanti tetapi kegembiraan sambutan perlu seiring dengan kesedaran keselamatan,” katanya semasa Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran dan Siaga Raya 2026, pada Sabtu.

Majlis tersebut dirasmikan Setiausaha Politik Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Abdul Wahid Abdul Razak.

Pisar menyeru masyarakat sentiasa mengambil tindakan mudah tetapi kritikal seperti mematikan suis elektrik sebelum meninggalkan rumah dan memastikan lilin serta dapur tidak ditinggalkan tanpa pengawasan.

"Selain itu, tidak bermain mercun atau bunga api tanpa kawalan dan menyimpan nombor kecemasan bomba di tempat yang mudah dicapai.

“Langkah-langkah ini mampu menyelamatkan nyawa dan harta benda,  disamping menyemai budaya keselamatan yang mantap dalam komuniti dengan menjadikan keselamatan tanggungjawab bersama,” ujarnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama