TUARAN: Sejumlah RM559.85 juta
diperuntukkan kepada Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan
(MAFFI) pada tahun ini untuk meningkatkan keterjaminan makanan dan Kadar Sara
Diri (SSR) negeri Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri
Panglima Hajiji Noor berkata di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2.0
(SMJ 2.0), sektor pertanian kekal sebagai salah satu daripada tiga tonggak
utama yang memacu pertumbuhan ekonomi negeri.
"Ini mencerminkan komitmen
Kerajaan Negeri untuk memastikan sekuriti makanan kekal kukuh.
"Seperti yang kita sedia
maklum, isu keterjaminan makanan telah menjadi agenda utama di peringkat global
dan nasional.
"Perubahan iklim, ketidaktentuan ekonomi, gangguan rantaian bekalan dan peningkatan kos sara hidup memerlukan pendekatan baharu yang lebih praktikal, berdaya tahan dan inklusif.
“Oleh itu, sektor pertanian,
perikanan dan industri makanan akan terus menjadi nadi kepada pembangunan
sosio-ekonomi Sabah,” katanya ketika berucap merasmikan Pelancaran Program
Jelajah Kebun Dapur di Padang Istiadat di sini, pada Ahad.
Hajiji memaklumkan beberapa
inisiatif sedang dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian Sabah sebagai agensi utama
yang bertanggungjawab untuk pembangunan subsektor tanaman antaranya Pembangunan
Zon Pengeluaran Tanaman Makanan Kekal di 15 buah Taman Kekal Pengeluaran
Makanan di negeri ini.
Selain itu, sebanyak RM3 juta
diperuntukkan kepada Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) bagi Perbelanjaan
Mengurus, manakala RM15 juta lagi untuk perolehan jentera menuai dan pembajakan
padi.
"Inisiatif ini adalah untuk
menjadikan Sabah sebagai pengeluar padi dan beras yang mampan, berdaya saing,
serta untuk menjamin sekuriti makanan dengan sasaran 60 peratus Tahap Sara Diri
(SSL) menjelang tahun 2030," tambahnya.
Hajiji yakin tiga tonggak
pembangunan ekonomi negeri iaitu perindustrian, pertanian dan pelancongan akan
meningkat dalam tempoh lima tahun di bawah Hala Tuju SMJ 2.0.
"Namun, keterjaminan makanan
bukanlah tanggungjawab ladang-ladang atau projek berskala besar semata-mata.
"Ia juga bermula di
peringkat akar umbi iaitu di laman rumah kita sendiri dan dalam konteks ini,
inisiatif Kebun Dapur di bawah program Revolusi Ekonomi Luar Bandar merupakan
salah satu strategi yang bukan sahaja berfokus kepada pengeluaran makanan,
tetapi turut menekankan aspek pengurangan kos sara hidup serta pembentukan
komuniti yang lebih berdikari dan mampan.
"Oleh itu, saya mahu melihat
Tuaran muncul sebagai ‘Daerah Kebun Dapur Model’, di mana inisiatif ini bukan
sahaja dilaksanakan, tetapi benar-benar menjadi sebahagian daripada cara hidup
komuniti.
"Saya berharap setiap
kampung, kawasan perumahan dan komuniti akan mengambil peluang ini untuk
mengusahakan kebun dapur mengikut kemampuan dan kreativiti masing-masing,”
katanya.
Hajiji juga menggesa golongan
belia di negeri ini, khususnya di Tuaran, supaya merebut peluang yang
ditawarkan melalui siri jelajah tersebut untuk mempelajari teknik pertanian
pintar yang menggabungkan inovasi dan teknologi, yang dapat menjana pendapatan
tambahan.
