KOTA KINABALU: Rancangan
Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 akan dimanfaatkan bagi memperkasa agenda
pendidikan di Sabah selaras hala tuju strategik negara dalam mendepani cabaran
dekad akan datang.
Menteri di Jabatan Perdana
Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts Mustapha Sakmud berkata dokumen dasar
berkenaan merupakan blueprint membina generasi masa depan yang adaptif, berdaya
saing dan berpaksikan nilai manusiawi selaras aspirasi Malaysia MADANI.
''Dalam konteks Sabah, keutamaan
diberikan kepada pemerkasaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET)
sebagai nadi ekonomi masa depan negeri.
"Kita perlu melakukan
anjakan paradigma terhadap TVET dan memadamkan stigma bahawa ia pilihan kedua.
Dengan keperluan tenaga mahir yang semakin tinggi, graduan TVET adalah tulang
belakang kepada kemajuan industri serta inovasi negara," katanya.
Beliau turut menekankan aspek
keadilan sosial melalui penyediaan infrastruktur pendidikan yang mampan,
termasuk usaha berterusan menoktahkan isu sekolah daif di negeri ini.
"Kita tidak boleh bercakap
mengenai pendidikan kelas pertama jika masih ada anak-anak belajar dalam
persekitaran yang tidak kondusif. Merapatkan jurang infrastruktur luar bandar
adalah satu kemestian agar setiap sekolah mempunyai kemudahan asas yang
lengkap, selamat dan bermartabat," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika
merasmikan Wacana Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 Peringkat
Negeri Sabah anjuran Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) Negeri Sabah dengan
kerjasama Sahabat Penggerak MADANI di sini pada Sabtu.
Jelasnya, pembinaan karakter dan
jati diri kenegaraan turut menjadi teras penting dalam pelaksanaan RPM
2026-2035.
"Kita mahu melahirkan
generasi bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi memiliki nilai ihsan, akhlak
mulia dan integriti yang kukuh. Pendidikan mesti membentuk insan seimbang,
bukan sekadar pintar," katanya.
Dalam aspek literasi digital dan
kecerdasan buatan (AI), beliau menegaskan komitmen untuk memastikan tiada
jurang digital antara bandar dan luar bandar di Sabah.
"Saya tidak mahu wujud kasta
digital. Akses kepada teknologi dan pendidikan AI bagi anak-anak di Pitas,
Ranau dan Nabawan mesti setara dengan anak-anak di Kota Kinabalu atau Kuala
Lumpur. Kita mahu setiap anak Sabah menjadi pemain dalam ekonomi digital
global, bukan sekadar pemerhati," katanya.
Beliau turut menyeru seluruh
lapisan masyarakat agar menjadi penggerak transformasi pendidikan dengan
bertindak sebagai duta visi pendidikan, mengaplikasikan minda inovatif serta
mengekalkan sinergi MADANI melalui kolaborasi antara ahli akademik, NGO dan
komuniti.
"Transformasi pendidikan
2026-2035 ini bukan milik kementerian semata-mata, tetapi amanah kolektif kita
semua. Kita tidak boleh lagi menjadi pemerhati kepada arus perubahan,
sebaliknya mesti menjadi penggeraknya," tegas beliau.
Seramai 200 peserta menghadiri
wacana tersebut yang menghimpunkan ahli akademik, pendidik, penggerak komuniti
serta pelbagai pemegang taruh bagi membincangkan hala tuju pendidikan negara
dan peranan Sabah dalam memastikan agenda transformasi pendidikan dilaksanakan
secara inklusif dan progresif.
Hadir sama Pengarah AKM, Pejabat
Perdana Menteri Negeri Sabah Datin Shonitah Terang; Felo Kenegaraan AKM, Datuk
Dr Amin Senin; Profesor Kehormat Universiti Selangor, Dr Arsiah Bahron;
Pengerusi Sahabat Penggerak MADANI Hassanudin Guliling dan Timbalan Pengarah
Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Mudin Betting.
