KOTA KINABALU: Sinergi antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan media disifatkan sebagai elemen penting dalam memastikan pandangan akademik dapat difahami masyarakat secara lebih jelas dan berkesan.
Naib Canselor UMS, Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, sebagai institusi pendidikan tinggi, UMS bukan sahaja berperanan menjana ilmu, malah memikul tanggungjawab untuk memediasi realiti kepada masyarakat melalui penyampaian maklumat yang ringkas, logik dan menarik.
“Penemuan penyelidikan kita, pandangan pakar kita dan sumbangan akademik kita perlu disampaikan dengan cara yang ringkas, logik dan menarik supaya difahami oleh komuniti,” katanya.
Ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Dr. Raman Noordin pada Majlis Apresiasi Media bersama UMS yang bertempat di Shangri La Tanjung Aru, di sini, pada malam Ahad.
Menurutnya, peranan media amat penting sebagai jambatan yang membantu menterjemah bahasa dan memastikan maklumat yang disampaikan adalah sahih, berautoriti dan berintegriti.
“Universiti memerlukan media untuk membantu menyampaikan dapatan ilmu kepada rakyat, manakala media pula memerlukan institusi seperti UMS sebagai sumber maklumat yang tepat dan boleh dipercayai,” ujar beliau.
Beliau berkata, kerjasama strategik ini bukan sahaja memberi manfaat kepada dunia pendidikan tinggi, malah menyumbang kepada pembangunan negeri Sabah dan masa depan negara melalui penyebaran ilmu yang lebih meluas dan berimpak.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa media tidak lagi harus dilihat sekadar sebagai tetamu dalam program universiti, sebaliknya sebagai ‘Very Important Press’ (VIP) dalam ekosistem universiti.
“Media memilih untuk mendapatkan pengesahan fakta, memberi ruang kepada pihak universiti untuk menjelaskan keadaan sebenar, dan melaporkan isu secara seimbang- bukan berlandaskan emosi dan sensasi.
“Media bukan sekadar saluran penyampai maklumat. Media adalah pembentuk persepsi awam,”jelasnya.
