Ronald Kiandee digugur wakil Bersatu dalam MT PN

PETALING JAYA: Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee digugurkan sebagai wakil parti itu dalam Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN).

Menurut laporan Free Malaysia Today (FMT), Kiandee yang dikatakan sealiran dengan bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, digantikan Naib Presiden parti, Datuk Radzi Jidin.

Kiandee mengesahkan perkara itu ketika dihubungi FMT.

Selain Radzi, seorang lagi wakil Bersatu dalam MT PN ialah Naib Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Faizal dan Radzi ketika ini menjalankan fungsi sebagai Timbalan Presiden Bersatu dan dilihat sealiran dengan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

MT PN dijadual mengadakan mesyuarat penting di ibu pejabat Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di Kuala Lumpur, jam 3 petang ini.

Mesyuarat berkenaan dijangka mengesahkan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN serta melantik penggantinya. Muhyiddin turut dijangka hadir.

Jawatan Pengerusi PN kosong sejak 1 Januari lalu susulan peletakan jawatan Muhyiddin.

Sejak itu, PAS dilaporkan menuntut jawatan berkenaan, namun Presidennya, Datuk Seri Hadi Awang, sebelum ini menolak untuk mengambil alih atas faktor kesihatan.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Takiyuddin Hassan, dilaporkan mendakwa Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Malaysian Indian People's Party (MIPP) bersetuju untuk PAS menerajui gabungan itu.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama