KOTA KINABALU: Gempa bumi kuat berukuran magnitud 6.8 dikesan berlaku diperairan Kota Kinabalu, Sabah pada jam 12.57 pagi ini.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), kejadian itu berlaku pada koordinat 7.0° Utara dan 116.4° Timur, kira-kira 49 kilometer barat dari Kudat dengan kedalaman 678 kilometer.
“Gegaran dilaporkan dirasai di beberapa kawasan di Sabah, selain turut dirasai di Sarawak dan beberapa negeri di Semenanjung Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
MetMalaysia turut memaklumkan tiada ancaman tsunami kepada Malaysia susulan kejadian berkenaan.
Sementara itu, pihaknya akan terus memantau perkembangan semasa dan menasihatkan orang ramai agar kekal tenang serta mendapatkan maklumat sahih melalui saluran rasmi.
“Orang ramai yang merasai gegaran diminta mengisi borang soal selidik yang disediakan melalui pautan rasmi MetMalaysia bagi membantu proses pemantauan dan analisis lanjut,” jelasnya.
