KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menyalurkan peruntukan RM90
juta kepada badan-badan keagamaan di Sabah sebagai usaha memelihara keharmonian
masyarakat berbilang agama.
Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick berkata
peruntukan tambahan tersebut mencerminkan kesungguhan kerajaan di bawah
kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menyokong
pembangunan institusi keagamaan tanpa mengira latar belakang agama.
"Pada tahun lalu sahaja, saya selaku Ahli Parlimen
Penampang telah menyalurkan RM150,000 kepada sebuah gereja di Kampung Sugut
bagi pembinaan ruang letak kereta.
“Hari ini saya turun padang untuk melihat sendiri
pelaksanaan bantuan tersebut serta berinteraksi secara langsung dengan
masyarakat setempat yang memberikan maklum balas sangat positif,” katanya
ketika ditemui media pada sambutan Thaipusam di Kuil Subramaniar, Kem Lok Kawi,
pada Ahad.
Sementara itu, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan
Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai berkata sambutan Thaipusam di Sabah
menjadi simbol keunikan serta kekuatan perpaduan masyarakat berbilang kaum dan
agama di negeri ini.
"Walaupun hidup berbilang bangsa namun kita tetap hidup
dalam keadaan yang harmoni dan saya rasa hal ini mampu menarik pelancong dalam
dan juga luar negara," ujarnya.
Terdahulu, sambutan Thaipusam dimulakan dengan upacara
pengambilan Paal Kudam dan Kavadi, diikuti upacara sembahyang di persisiran
pantai Attanggarai serta ritual Abhishegam sebelum upacara sembahyang.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog, Datuk
Donald Peter Mojuntin; Timbalan Pengerusi Kuil Subramaniar Lok Kawi, Dr Barathi
Devi dan Ahli Jawatankuasa Sambutan Thaipusam Peringkat Negeri Sabah, Datuk Dr
G. Mohan a/l Gopal Naidoo.
