Pembangunan KK Seiring Agenda SMJ, Tingkat Kualiti Hidup Rakyat - Joniston

 

KOTA KINABALU: Pembangunan ibu negeri Sabah perlu digerakkan seiring agenda pembangunan negeri yang memberi kesan langsung terhadap kualiti hidup rakyat.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai berkata pembangunan bandar yang terancang akan mempengaruhi kesejahteraan rakyat dan membentuk imej Sabah di peringkat nasional serta antarabangsa.

"Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memainkan peranan utama sebagai rakan strategik kerajaan negeri merealisasikan dasar pembangunan bandar terancang.

“DBKK memperkukuh inisiatif Bandaraya Pintar, meningkatkan kecekapan perkhidmatan, memelihara alam sekitar, memperindah ruang awam dan memupuk keharmonian sosial.

"Ini adalah manifestasi jelas aspirasi SMJ di peringkat bandar raya,” katanya semasa Sambutan Ulang Tahun Ke-26 Bandaraya Kota Kinabalu, pada Isnin.

Di samping itu, beliau juga menegaskan kerajaan negeri  bekerjasama dengan DBKK agar setiap perancangan dapat dilaksanakan secara berkesan dan memberikan impak positif kepada rakyat.

"Kerajaan Negeri menyokong usaha DBKK melalui penyelarasan dasar, kerjasama agensi, penglibatan sektor swasta dan komuniti untuk memastikan perancangan dapat dilaksanakan berkesan.

“Pendekatan yang menekankan tadbir urus cekap, integriti pentadbiran dan keseimbangan pembangunan adalah selari sepenuhnya dengan aspirasi negeri,” ujarnya.

Hadir sama, Mayor Kota Kinabalu, Datuk Sri Dr. Sabin Samitah; Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Datuk Chan Foong Hin; serta tiga bekas Mayor, Datuk Yeo Boon Hai, Datuk Nordin Siman serta Datuk Ilyas Ibrahim.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama