KOTA KINABALU : Program Jelajah Info Busking PENTARAMA X
Info On Wheel (IOW) menjadi platform strategik kerajaan menyampaikan dasar dan
inisiatif semasa secara santai dan dekat kepada rakyat.
Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor berkata
pendekatan hiburan bermaklumat yang diketengahkan menerusi PENTARAMA merupakan
usaha Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) turun padang mendekati masyarakat,
khususnya di kawasan tumpuan awam pada hujung minggu.
"Pendekatan PENTARAMA yang menggabungkan elemen
persembahan nyanyian, tarian dan drama pentas membolehkan maklumat serta dasar
kerajaan disampaikan dalam suasana santai, sekali gus memudahkan masyarakat
memahami, menerima dan menghayatinya," katanya pada program tersebut di
Api-Api Night Market, Lintasan Deasoka, pada Sabtu malam.
Menurut Jainisah, pelaksanaan program secara bersemuka turut
memberi ruang kepada masyarakat untuk berinteraksi secara langsung dengan
agensi kerajaan dan pemimpin tempatan, selain mendapatkan penjelasan berkaitan
isu semasa serta inisiatif yang dibawa kerajaan.
"Melalui kolaborasi strategik bersama Dewan Bandaraya
Kota Kinabalu (DBKK) dan Tourism Malaysia, program ini bukan sahaja menjadi
medium penyampaian maklumat, malah berfungsi sebagai platform mendapatkan
maklum balas terus daripada masyarakat setempat secara harmoni dan
terbuka," jelasnya.
Jainisah turut memaklumkan Jelajah Info Busking PENTARAMA X
Info On Wheel merupakan program skala kecil yang dirancang di 10 lokasi
terpilih di seluruh Sabah pada tahun ini, dengan Api-Api Night Market sebagai
lokasi pertama, bertujuan mendekati masyarakat setempat serta menyemai semangat
perpaduan, patriotisme dan cintakan negara dalam kalangan rakyat berbilang
kaum.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah DBKK, Faradillah
Abdul Rani berkata program berkonsepkan interaksi secara langsung dilihat lebih
berkesan kerana membolehkan maklumat disampaikan terus kepada masyarakat dalam
suasana santai dan mesra.
"Pendekatan bersemuka seperti ini memberi impak yang
lebih besar kerana orang ramai lebih mudah menerima maklumat apabila kita
berinteraksi secara langsung. Ia juga membantu menjadikan bandar lebih hidup
dan bervariasi,” katanya.
Beliau berkata, DBKK turut memanfaatkan platform tersebut
untuk menyampaikan mesej kesedaran awam termasuk kempen kebersihan bandar serta
Kempen Pengurangan Penggunaan Beg Plastik, yang dilihat lebih berkesan apabila
disampaikan secara langsung berbanding kaedah konvensional.
Di samping itu, Pengarah Tourism Malaysia Sabah, Haryanty
Abu Bakar menyifatkan kolaborasi strategik antara Tourism Malaysia, JAPEN dan
DBKK sebagai platform efektif dalam mempromosikan kempen Tahun Melawat Malaysia
2026 kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa.
"Platform infotainment seperti ini bukan sahaja menyampaikan maklumat berkaitan pelancongan, malah menjadi saluran untuk menyalurkan informasi kerajaan yang memberi manfaat kepada rakyat, khususnya di Sabah," jelasnya.
Beliau turut berharap program seumpama ini dapat
diperluaskan ke daerah lain termasuk Sandakan dan Tawau, terutama kawasan
tumpuan pelancong, bagi memastikan maklumat kerajaan dapat disampaikan kepada
lebih ramai lapisan masyarakat.
“Program itu turut menerima maklum balas positif daripada
pengunjung. Seorang pengunjung, Aslie Mohd Idzman, 46, dari Tuaran, berkata
pendekatan penyampaian maklumat secara menghiburkan memudahkan orang ramai
menerima mesej yang disampaikan.
‘Konsepnya menarik kerana menggabungkan elemen hiburan dan
informasi, sekali gus membantu orang ramai, termasuk kanak-kanak dan keluarga,
memahami maklumat dengan lebih santai,’ katanya.
Program yang berlangsung dari 8.30 hingga 10.30 malam Sabtu
itu diisi dengan pelbagai pengisian antaranya segmen 'Dengar Dulu' bersama DBKK
dan Tourism Malaysia Sabah, edaran risalah, sesi kuiz bersama pengunjung oleh
TM Malaysia serta persembahan Info Busking PENTARAMA dengan penampilan khas
Baginda Busker.
