RM672.05 juta untuk kelestarian, tilawah negeri perkukuh syiar Islam

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memperuntukkan sebanyak RM672.05 juta bagi agenda kelestarian hijau di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, ia selari komitmen memperkukuh syiar Islam menerusi penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran (MTHQ) Peringkat Negeri Sabah 1447H/2026M.


Katanya, pembangunan negeri perlu bergerak seiring antara aspek fizikal dan spiritual bagi memastikan kesejahteraan rakyat dapat dicapai secara menyeluruh.


"Penganjuran MTHQ merupakan antara pendekatan strategik kerajaan negeri dalam mengajak umat Islam menghayati serta memartabatkan al-Quran sebagai asas pembinaan masyarakat progresif, makmur dan sejahtera.


“Sesungguhnya majlis ini merupakan antara pendekatan strategik kerajaan negeri dalam usaha mengajak seluruh umat Islam di negeri ini untuk sentiasa menghayati dan memartabatkan al-Quran sebagai asas pembinaan masyarakat umat yang progresif, makmur dan sejahtera,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah MTHQ Peringkat Negeri Sabah, di sini, semalam.


Hajiji menjelaskan, prinsip keseimbangan antara tuntutan duniawi dan ukhrawi seperti yang digariskan dalam al-Quran turut menjadi asas hala tuju pembangunan negeri, termasuk dalam aspek pemeliharaan alam sekitar.


Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri menyasarkan 30 peratus kawasan Sabah diwartakan sebagai Total Protected Area menjelang 2030 bagi memastikan keseimbangan antara pembangunan dan pemuliharaan alam sekitar terus terpelihara.


"Peruntukan RM672.05 juta itu disalurkan bagi tujuan perlindungan biodiversiti, pemeliharaan alam sekitar serta usaha menangani perubahan iklim di negeri ini," katanya. 


Dalam pada itu, beliau menegaskan MTHQ merupakan platform penting melahirkan qari, qariah, hafiz dan hafizah yang bukan sahaja cemerlang dalam bacaan dan hafazan, malah berperanan sebagai contoh teladan dalam masyarakat.


"Kerajaan negeri akan terus memperkasa pendidikan agama Islam dan institusi tahfiz bagi membina generasi berilmu, berakhlak mulia serta berdaya saing, selari dengan aspirasi pembangunan Sabah yang mampan dan diberkati," katanya.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama