![]() |
KOTA KINABALU: 'Mama sudah bayar RM7,000 untuk putus tunang, tapi dia masih ganggu.'
Demikian dakwaan anak kepada wanita yang ditemukan maut dengan keadaan anggota badan tidak lengkap dalam kejadian menggemparkan di bandar raya ini.
Menerusi siaran langsung di TikTok, lelaki itu mendedahkan pertunangan ibunya dengan suspek utama hanya bertahan kira-kira dua hingga tiga bulan sebelum diputuskan kerana kerap berlaku pertengkaran dan tiada persefahaman.
Menurutnya, ibunya mengambil keputusan menamatkan hubungan selepas tidak lagi tahan dengan konflik yang berterusan.
“Dia datang jumpa keluarga dan setuju putus, tapi minta RM7,000. Mama bayar jumlah itu,” katanya.
Bagaimanapun, dakwanya, walaupun pertunangan sudah berakhir, lelaki terbabit masih mengganggu ibunya dengan menghubungi menggunakan enam nombor telefon berbeza.
“Kami sudah nasihat mama supaya putuskan terus dan jangan lagi berkawan. Mama setuju demi kebaikan bersama,” katanya.
Katanya, ibunya kemudian mengenali lelaki lain sebelum mendirikan rumah tangga pada awal Januari lalu.
Mengimbas hari kejadian, lelaki itu berkata ibunya menghadiri majlis kenduri sebelum keluar semula pada sebelah petang untuk berjumpa seseorang bagi urusan tertentu.
Namun, katanya, mangsa gagal dihubungi sekitar jam 5 hingga 6 petang apabila panggilan dan mesej tidak berjawab, malah telefon bimbitnya tidak lagi aktif.
“Kami mula risau sebab biasanya mama akan telefon kalau lewat. Abang saya cuba hubungi setiap setengah jam sampai pagi,” katanya.
Keesokan harinya, keluarga menerima berita penemuan mayat seorang wanita sebelum dipanggil ke balai polis untuk proses pengecaman.
Menurutnya, selepas memaklumkan kepada polis mengenai bekas tunang sebagai individu disyaki, pihak berkuasa menyerbu kediaman lelaki terbabit dan menemui kesan darah serta beberapa barangan peribadi dipercayai milik mangsa.
"Suspek kemudian ditahan ketika mendapatkan rawatan di hospital dan kini direman bagi membantu siasatan lanjut.
“Mama sudah selamat dikebumikan walaupun masih ada beberapa bahagian anggota badan belum ditemui. Kami reda dan bersyukur urusan pengebumian dipermudahkan,” katanya.
