PAPAR: Sabah perlu berani menentukan hala tuju politiknya sendiri dan tidak lagi sekadar menjadi penumpang dalam pembentukan Kerajaan Persekutuan menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merangkap Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan, landskap politik negara hari ini membuka ruang besar untuk Sabah membuat keputusan sendiri.
Menurutnya, keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 membuktikan tiada lagi gabungan tunggal mampu membentuk kerajaan secara bersendirian dengan majoriti kukuh.
“Realitinya hari ini tidak ada satu ‘single coalition’ yang boleh membentuk kerajaan secara sendiri. Dalam keadaan itu, Sabah dan Sarawak mempunyai kedudukan strategik.
“Persoalannya, adakah kita mahu terus menjadi pelengkap atau penumpang, ataupun kita mahu jadi satu blok yang boleh membuat keputusan sendiri ‘we can decide on our own’,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Sentuhan Kasih, Jualan Rahmah Madani dan Advokasi Kepenggunaan di sini, hari ini.
Armizan berkata, untuk mencapai kedudukan itu, Sabah perlu memperkukuhkan kesatuan politik terutama dalam kalangan parti tempatan supaya mempunyai jumlah kerusi mencukupi bagi menentukan pendirian sendiri.
Katanya, tanpa kesatuan dan kekuatan kerusi yang signifikan, Sabah akan terus berada dalam posisi bergantung kepada pihak lain.
“Kita perlu bertanding dan menang atas satu kesepakatan yang kuat. Bila kita ada jumlah kerusi yang besar, kita boleh menentukan pendirian kita sendiri.
“Bukan sekadar menyokong sesiapa yang dominan di Semenanjung, tetapi kita boleh meletakkan syarat dan memastikan agenda Sabah menjadi sebahagian daripada agenda utama kerajaan,” katanya.
Beliau berkata, kecenderungan rakyat Sabah terhadap parti-parti tempatan dalam pilihan raya negeri lalu menunjukkan isyarat jelas bahawa rakyat mahu pendekatan lebih berasaskan kepentingan negeri.
Namun katanya, mesej itu perlu diterjemahkan oleh kepimpinan politik melalui kesatuan dan strategi bersama.
“Menjadi penentu kerajaan itu penting, tetapi yang lebih penting ialah apa yang kita lakukan dengan kedudukan itu.
“Kita mahu memastikan kepentingan Sabah bukan sekadar disebut, tetapi benar-benar dilaksanakan dalam dasar dan keputusan di peringkat Persekutuan,” katanya.
