PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merekodkan tahap pematuhan yang amat memuaskan dalam kalangan peniaga bazar Ramadan setakat ini apabila hanya dua kes dikesan hasil 6,268 pemeriksaan yang dijalankan.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata secara keseluruhan Ops Pantau yang bermula 19 Februari hingga 20 Mac depan, pihaknya telah melaksanakan pemeriksaan ke atas 16,059 premis di seluruh negara.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 265 kes telah dihasilkan dengan nilai rampasan berjumlah RM1.09 juta.
“Sebanyak 229 kes pula diputuskan untuk dikenakan kompaun melibatkan jumlah RM57,500,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Sentuhan Kasih Vokasi Kepenggunaan dan Program Jualan Rahmah Madani (PGRM) di SMK Pengalat, DUN Kawang, Parlimen Papar.
Menurut beliau, pemeriksaan melibatkan pelbagai premis termasuk bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, pasar awam dan kedai runcit bagi memastikan peniaga tidak memanipulasi harga sepanjang bulan Ramadan.
Katanya, kesalahan yang dikesan kebanyakannya membabitkan kegagalan mempamerkan tanda harga dan penggunaan alat timbang sukat yang tidak mematuhi piawaian ditetapkan.
“Contohnya, dalam kes yang tular itu, harga yang dikenakan adalah sama seperti Ramadan tahun lalu. Ini bermakna tiada pencatutan berlaku kerana peniaga masih mengekalkan harga lama,” jelasnya.
Dalam pada itu, Armizan memaklumkan kerajaan memperuntukkan RM300 juta kepada KPDN bagi meneruskan Inisiatif Payung Rahmah termasuk memperkukuh pelaksanaan Program Jualan Rahmah Madani (PGRM) sebagai usaha menangani kos sara hidup.
Katanya, bermula tahun ini pelaksanaan PGRM ditetapkan secara tetap iaitu tiga kali sebulan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Jadual penganjuran diumumkan melalui takwim rasmi di laman sesawang KPDN bagi memudahkan rakyat membuat perancangan,” ujar beliau.
Sepanjang Ramadan ini, KPDN menyasarkan 1,898 penganjuran PGRM di seluruh negara dan setakat 28 Februari sebanyak 541 program telah dilaksanakan.
“PGRM menawarkan barangan keperluan harian pada kadar diskaun antara 10 hingga 30 peratus hasil subsidi kerajaan,” tambahnya.
