Sabah, Sarawak perlu manfaat momentum parti lokal jadi penentu PRU16

PAPAR: Sabah dan Sarawak perlu bijak memanfaatkan momentum kebangkitan parti-parti lokal bagi memastikan kedua-dua negeri itu benar-benar menjadi penentu dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merangkap Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, landskap politik negara selepas Pilihan Raya Umum ke-15 menunjukkan tiada lagi gabungan tunggal mampu membentuk kerajaan secara bersendiria

Menurutnya, situasi itu meletakkan Sabah dan Sarawak dalam kedudukan strategik kerana jumlah kerusi Parlimen yang dimiliki mampu menentukan pembentukan kerajaan Persekutuan.

“Realitinya hari ini, tidak ada satu ‘single coalition’ yang boleh membentuk kerajaan secara sendiri. Dalam keadaan itu, Sabah dan Sarawak berada pada posisi yang sangat penting.

“Tetapi untuk menjadi penentu yang sebenar, kita perlu manfaatkan momentum parti-parti lokal yang semakin mendapat sokongan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Sentuhan Kasih, Jualan Rahmah Madani dan Advokasi Kepenggunaan di sini, hari ini.

Armizan berkata, kecenderungan rakyat Sabah memilih parti tempatan dalam pilihan raya negeri lalu memberi isyarat jelas bahawa rakyat mahukan pendekatan yang lebih berteraskan kepentingan negeri.

Namun katanya, momentum itu perlu diterjemahkan dalam bentuk kesatuan politik dan strategi bersama supaya kerusi yang dimenangi dapat membentuk satu blok yang kukuh.

“Kalau parti-parti lokal bersatu dan menang dalam jumlah besar, barulah kita ada kekuatan untuk menentukan pendirian sendiri.

“Kita bukan sekadar mahu jadi pelengkap dalam pembentukan kerajaan, tetapi mahu memastikan agenda Sabah dan Sarawak menjadi antara agenda utama di peringkat Persekutuan,” katanya.

Menurutnya, menjadi penentu bukan sekadar soal angka, tetapi bagaimana kekuatan itu digunakan untuk memperjuangkan hak, pembangunan dan kepentingan rakyat di kedua-dua negeri.

“Momentum sudah ada. Sekarang yang penting ialah bagaimana kepimpinan politik memanfaatkannya secara strategik supaya Sabah dan Sarawak benar-benar dihormati sebagai blok penentu dalam PRU16,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama