![]() |
| Empat suspek yang disyaki terlibat dengan kes curi enjin bot ditahan polis semalam. |
SEMPORNA : Polis menumpaskan dua kes kecurian di daerah ini susulan penahanan lima lelaki dalam tempoh kurang seminggu, termasuk empat suspek kes curi enjin bot di sebuah pusat peranginan dan seorang lagi dalam kes curi motosikal bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Semporna Superintendan Tan Hiap Wah berkata kes pertama membabitkan kehilangan sebuah enjin bot Yamaha 15 kuasa kuda (hp) milik seorang pengusaha pelancongan yang disedari hilang pada 27 Jan lalu kira-kira jam 7.30 pagi.
Beliau berkata, siasatan awal dan jasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati sekitar jam 12.37 tengah malam, tiga lelaki datang menggunakan sebuah bot kecil di resort terbabit.
"Seorang daripada mereka masuk ke stor sebelum melarikan enjin bot dianggarkan bernilai RM7,500 itu dan beredar menggunakan bot yang sama.
"Hasil siasatan membawa kepada penahanan seorang lelaki warga asing di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Bangau-Bangau pada 28 Jan kira-kira jam 10.55 malam," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut Tan berkata, susulan tangkapan itu, polis merampas sebuah bot kayu dan enjin bot Yamaha 40hp dan seterusnya membawa kepada penahanan tiga lagi lelaki di Kampung Pulau Lumanggas.
Katanya, polis turut menemukan sebuah enjin bot Yamaha 15hp yang dipercayai berkaitan dengan kes yang sedang disiasat.
"Kesemua empat suspek tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan kini ditahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.
![]() |
| Suspek kes curi motosikal di pekan Semporna dicekup polis jam 2 petang kelmarin. |
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun yang disyaki terlibat dalam kes kecurian motosikal selepas mangsa mendapati kenderaannya hilang di hadapan sebuah hotel di sekitar Pekan Semporna pada 2 Januari lalu.
“Hasil operasi pada kira-kira jam 1.20 petang Ahad, di Kampung Bangau-Bangau membawa kepada penahanan suspek bersama sebuah motosikal serta sepasang sport rim putih.
'Suspek yang mempunyai enam rekod jenayah lampau termasuk kes berkaitan dadah kini ditahan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.

