KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah terus memperkukuh keupayaan pentadbiran dan komunikasi strategiknya apabila menganjurkan Kursus Pengurusan Krisis melibatkan pegawai-pegawai politik dari semua kementerian, sebagai langkah proaktif memastikan isu semasa ditangani secara berfakta, tersusun dan berkesan.
Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Azrul Ibrahim, mengatakan kursus itu dianjurkan untuk menghimpunkan Setiausaha Politik, Setiausaha Akhbar, Setiausaha Perhubungan Awam, Setiausaha Sulit serta Pegawai Khas.
“Inisiatif ini bertujuan memperkasa peranan jentera politik kerajaan agar lebih bersedia mengurus krisis, di samping menyelaras penyampaian dasar dan inisiatif Kerajaan Negeri kepada rakyat secara konsisten dan jelas,” katanya dalam satu sidang media di Sabah Oriental Hotel,Kota Kinabalu, hari ini.
Menurut beliau, kursus tersebut turut memberi penekanan kepada pengurusan persepsi awam, pengendalian isu sensitif serta keperluan memberikan respons pantas dan berfakta, khususnya dalam era penyebaran maklumat pantas di media sosial.
“Langkah ini dilihat sebagai usaha berterusan Kerajaan Negeri Sabah untuk memastikan setiap keputusan dan dasar kepimpinan dapat difahami rakyat, justeru mengekalkan keyakinan awam terhadap pentadbiran negeri,” tambahnya.
Penganjuran kursus berkenaan juga mencerminkan komitmen kerajaan negeri di bawah slogan “Sabah Maju Jaya” untuk mempertingkat profesionalisme jentera politik serta memperkemas sistem penyampaian kerajaan agar lebih berkesan dan berpaksikan kepentingan rakyat.
