Bomba Sabah siap siaga menjelang Tahun Baru Cina, Aidilfitri


KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah terus meningkatkan prestasi dengan kekal bertugas sepanjang sambutan Tahun Baru Cina serta Aidilfitri tahun ini. 


Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Mohd Pisar Aziz berkata,  pihaknya sudah bersiap sedia 80 peratus untuk tempoh dua minggu sebelum dan selepas bagi memastikan keselamatan orang ramai terjaga. 


“Kempen tahunan ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap risiko kebakaran semasa musim perayaan. 


“Kami menekankan penggunaan dapur gas dan suis elektrik yang selamat serta mengingatkan ibu bapa supaya anak-anak tidak bermain mercun tanpa pengawasan,” katanya. 


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran dan Siaga Raya Sempena sambutan Tahun Baru Cina dan Aidilfitri yang bertempat di Centre Point, di sini, hari ini. 


Beliau turut memaklumkan, sebuah kenderaan bomba baharu diperkenalkan bagi memperkukuh operasi penyelamatan di kawasan bandar. 


“Dengan kemudahan terkini, kami dapat memberi respon lebih pantas dan berkesan sekiranya berlaku insiden kecemasan,” jelasnya. 


Beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati ketika berhari raya dan mematuhi prosedur keselamatan kebakaran. 


“Keseronokan perayaan tidak harus mengabaikan risiko kebakaran. 


“Pastikan peralatan elektrik yang digunakan bersijil dan elakkan daripada meninggalkan dapur tanpa pengawasan,” tambahnya.


Dalam pada itu, pihak bomba sedang meneliti statistik berhubung kebakaran yang berpunca daripada barangan elektrik tidak bersijil.


“Kami ada peralatan khusus untuk mengenal pasti punca kebakaran berasaskan alatan elektrik, dan laporan penuh akan disediakan kemudian. 


“Ini penting bagi melindungi keselamatan masyarakat dan mengurangkan kejadian kebakaran pada masa akan datang,” ujar beliau.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama