KOTA KINABALU: Pesta Selera Kota Kinabalu yang sebelum ini
dikenali sebagai Pesta Makan-Makan kembali memeriahkan bandar raya ini dengan
pendekatan lebih inklusif dan tersusun, sekali gus menjadi tarikan kepada
penduduk setempat serta pelancong tempatan dan antarabangsa.
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Dr Sabin Samitah
berkata, penganjuran pesta berkenaan bukan sekadar festival makanan, sebaliknya
platform untuk menghidupkan suasana bandar terutama pada waktu malam dalam
persekitaran yang selamat, bersih dan mesra pengunjung.
“Program ini bukan sekadar datang makan. Pengunjung boleh
menikmati hiburan muzik, suasana santai dan merasai sendiri vibransi Kota
Kinabalu sebagai bandar yang hidup,” katanya ketika ditemui pada majlis
pelancaran Pesta Selera Kota Kinabalu, semalam.
Menurutnya, penganjuran tahun ini tampil lebih menarik
dengan pengenalan lima zon utama iaitu Zon Western, Zon Artisan, Zon Makanan
Viral, Zon Berbahan serta Zon Khas Muda-Mudi bagi memenuhi citarasa pelbagai
lapisan masyarakat.
“Kita mahu pesta ini inklusif, bukan hanya untuk golongan
muda, tetapi juga keluarga dan pelancong.
"Setiap zon ada identiti tersendiri supaya pengunjung
boleh memilih pengalaman yang mereka mahukan,” katanya.
Katanya, sebanyak 92 gerai disediakan merangkumi keseluruhan
zon, sekali gus membuka peluang kepada peniaga kecil dan anak muda untuk
menjana pendapatan tambahan serta mengembangkan perniagaan.
Beliau berkata, pihaknya turut merancang agar penganjuran
seumpama ini dapat diadakan secara berkala, mungkin sehingga dua kali sebulan,
bergantung kepada sambutan dan kesesuaian.
Mengulas persiapan menjelang Ramadan, Dr Sabin memaklumkan
kawasan lot Ramadan tahun ini akan diperluaskan berbanding sebelum ini, kecuali
Padang Merdeka yang tidak digunakan, bagi memastikan aliran pengunjung lebih
selesa dan teratur.
Dalam pada itu, beliau menegaskan semua permohonan lot niaga
perlu dibuat menerusi aplikasi GoNet dengan syarat satu kad pengenalan diri
(IC) dan satu peranti bagi setiap pemohon.
“Langkah ini bagi memastikan proses pengagihan lot lebih
adil dan telus, selain mengelakkan penglibatan orang tengah atau ‘cable’.
"Jika didapati lot tidak diusahakan pemilik sebenar,
tindakan akan diambil,” katanya.
Beliau turut mengalu-alukan cadangan daripada orang ramai
untuk menambah baik penganjuran akan datang melalui WhatsApp, e-mel atau
saluran aduan rasmi sebelum permohonan lot dibuka minggu hadapan.
