KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri
Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick
menggesa agar lebih banyak syarikat di negeri ini meningkatkan pematuhan
terhadap piawaian antarabangsa.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan produk
dan perkhidmatan syarikat tempatan mampu menembusi pasaran antarabangsa serta
bersaing di peringkat global.
Menurutnya, berdasarkan data Malaysia External Traded
Development Corporation (MATRADE) Singapura, setakat Disember 2025, hanya 261
syarikat dari Sabah daripada 12,742 syarikat perusahaan Malaysia berdaftar
dengan MATRADE.
“Ini menunjukkan ada keperluan kita untuk melipatgandakan
usaha bagi memastikan lebih banyak produk dan perkhidmatan syarikat tempatan
dibangunkan supaya memenuhi kehendak serta piawaian pasaran antarabangsa.
“Antara fokus besar saya di kementerian ini ialah
membangunkan standard dan kualiti produk serta perkhidmatan usahawan tempatan
Sabah.
“Dengan pematuhan kepada piawaian antarabangsa seperti
pensijilan Halal, MESTI dan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG),
syarikat tempatan akan lebih bersedia menembusi pasaran luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas
menyempurnakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri Sabah (AKIS), di sini,
semalam.
Ewon berkata, kementeriannya akan terus menyokong keperluan
usahawan dan syarikat tempatan melalui penyediaan dasar serta inisiatif yang
bersesuaian, termasuk memastikan sokongan diperlukan diberikan bagi membawa
produk dan perkhidmatan ke pasaran antarabangsa.
“Dari segi pembungkusan, kita akan mengikhtiarkan
pembangunan keperluan ini kerana ia amat penting untuk membawa produk usahawan
tempatan ke pasaran antarabangsa. Ini merupakan sebahagian daripada fokus besar
saya bermula dengan pengiktirafan pada malam ini,” katanya.
Beliau berkata, hasil pemerhatiannya menunjukkan perbezaan
ketara antara pembungkusan produk sebelum dan selepas menerima bimbingan
daripada kementerian.
“Maklum balas peserta program menunjukkan jualan mereka
meningkat selepas pembungkusan produk ditambah baik kerana ia lebih menarik dan
memenuhi kehendak pengguna.
“Pembungkusan memainkan peranan besar dalam mempengaruhi
keputusan pengguna. Oleh itu, elemen ini akan terus menjadi antara program yang
diteruskan oleh kementerian supaya usahawan Sabah terus mendapat manfaat,”
katanya.
Ewon berkata, program bimbingan yang dilaksanakan turut bertujuan meningkatkan kesedaran usahawan untuk memiliki pensijilan penting seperti Halal dan ESG, yang merupakan komponen utama bagi menembusi pasaran antarabangsa.
“Ini adalah faktor besar yang mempengaruhi keyakinan
pengguna di luar negara, di samping membantu usahawan meningkatkan kesedaran
untuk mendapatkan pensijilan yang diperlukan,” katanya.
Beliau berkata, selaras dengan Wawasan Sabah First,
penskalaan perusahaan industri kecil dan sederhana (IKS) merupakan antara fokus
utamanya di kementerian, bermula dengan peningkatan keupayaan dan kapasiti
pengeluaran serta pemerkasaan kualiti dan standard produk serta perkhidmatan.
“Saya ingin melihat lebih banyak syarikat dari Sabah,
termasuk syarikat pemula, dibangunkan dan mampu menghasilkan produk atau
perkhidmatan yang memenuhi standard pasaran antarabangsa, termasuk pasaran di
Singapura,” katanya.
Mengenai AKIS, Ewon berharap pengiktirafan itu menjadi
pemangkin semangat kepada penerima anugerah dan syarikat lain untuk terus
melangkah ke hadapan, mengekalkan prestasi cemerlang, memperkukuh inovasi serta
menjadi peneraju industri yang mampu bersaing di peringkat global.
“Semoga anugerah ini menjadi inspirasi untuk mencapai
prestasi lebih tinggi ke arah merealisasikan aspirasi Sabah sebagai sebuah
negeri perindustrian menjelang tahun 2040,” katanya.
