Pertembungan tiga plat tektonik punca gempa kuat di perairan Sabah - pakar

KOTA KINABALU: Pertembungan dan tekanan antara tiga plat tektonik utama dikenal pasti sebagai punca gempa bumi kuat bermagnitud 6.8 yang berlaku di perairan Sabah, tengah malam tadi.

Pensyarah Kanan Program Geosains Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Dr Muhd Nur Ismail Abdul Rahman berkata, gempa itu berpunca daripada interaksi dinamik antara plat Indo-Australia, Eurasia dan Filipina di zon subduksi berhampiran negeri berkenaan.

Menurutnya, pertembungan berterusan antara plat berkenaan menyebabkan pengumpulan tenaga tinggi dalam kerak bumi sebelum dilepaskan secara mendadak apabila tekanan melepasi tahap ketahanan batuan.

“Apabila tekanan terkumpul terlalu tinggi dan batuan gagal menahannya, tenaga dilepaskan secara tiba-tiba, sekali gus menghasilkan gegaran kuat bermagnitud 6.8,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Beliau berkata, meskipun gempa itu berskala besar, kedalamannya yang mencecah 678 kilometer (km) menyebabkan risiko kerosakan besar adalah rendah.

“Gempa yang sangat dalam boleh dirasai di kawasan luas, namun intensitinya di permukaan biasanya lebih lemah. 

"Bagi gempa sedalam ini, gegaran susulan lazimnya lebih kecil dan kurang kerap berbanding gempa cetek,” katanya.

Muhd Nur Ismail menjelaskan, Sabah kekal sebagai kawasan paling terdedah di Malaysia berikutan kedudukannya berhampiran zon subduksi aktif berbanding wilayah lain di negara ini.

Sementara itu, Penolong Penyelidik Southeast Asia Disaster Prevention Research Initiative (SEADPRI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), B Navakanesh menyifatkan fenomena berkenaan sebagai Deformasi Lempeng Dalam.

Katanya, gempa itu berlaku pada lempeng yang tersubduksi dan bukan pada sistem patahan seperti kebanyakan gempa sebelum ini.

“Pada tekanan tinggi dan kedalaman sedemikian, lempeng boleh menimbun tekanan sebelum kegagalannya melepaskan tenaga yang besar. 

"Namun, kebanyakan tenaga telah diserap mantel dan kerak bumi, menyebabkan gelombang yang tiba di permukaan berfrekuensi rendah serta kurang merosakkan. Tiada risiko besar yang perlu dibimbangkan,” katanya.

Mengulas kemungkinan gegaran susulan, beliau berkata gempa bumi pada kedalaman biasanya reda lebih cepat berbanding gempa berhampiran permukaan.

Bagaimanapun, katanya, tekanan daripada pergerakan tektonik masih berpotensi berpindah ke sistem patahan tempatan dan perlu dipantau secara berterusan.

Dalam perkembangan sama, Profesor GIS dari Jabatan Geografi, Universiti Malaya (UM), Gs Dr Rosmadi Fauzi berkata kejadian itu membuktikan Malaysia tidak lagi kebal daripada risiko tektonik.

Beliau berkata, pendekatan negara perlu beralih kepada usaha mengenal pasti bahaya berpotensi melalui teknologi pemetaan bagi menyokong kesiapsiagaan yang lebih berkesan.

“Bencana tidak bermula dengan peristiwa, tetapi bermula dengan ruang. Pendidikan geografi di sekolah juga perlu diperkasakan supaya masyarakat lebih peka terhadap risiko bencana dan keselamatan ruang,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip memaklumkan gempa yang berpusat 49 km ke barat Kudat itu tidak membawa ancaman tsunami.

Menurutnya, ia adalah gempa terkuat pernah direkodkan melanda negara dalam tempoh 11 tahun.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama