Kuarters Klinik Kesihatan Tongod musnah terbakar

KINABATANGAN: Sebuah kuarters dua pintu milik Klinik Kesihatan Tongod musnah sepenuhnya dalam kebakaran awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabatangan, Hairi Otuh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.40 pagi menerusi talian NG999.

Menurutnya, pasukan bomba dari BBP Kota Kinabatangan yang berada kira-kira 172 kilometer dari lokasi kejadian bergegas ke tempat kejadian dan tiba pada jam 6.30 pagi.

“Kebakaran membabitkan sebuah rumah kuarters dua pintu jenis separuh kekal berkeluasan 40x60 kaki yang terbakar 100 peratus.

“Turut terjejas sebuah rumah tidak kekal berkeluasan sama yang terbakar 20 peratus serta sebuah kenderaan jenis Isuzu D-Max yang mengalami kerosakan kira-kira 10 peratus,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Hairi berkata, operasi pemadaman turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Saguon Tongod yang terlebih dahulu menjalankan kerja memadam menggunakan pam angkut serta sumber air dari pili bomba berhampiran.

Katanya, pasukan dari BBP Kota Kinabatangan pula menggunakan satu aliran salur bantu mula bagi mengawal dan memadam kebakaran.

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 6.48 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.58 pagi selepas pasukan memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi.

“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian ini,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama