Penjawat awam ditahan syor nama mentua, adik ipar terima Rumah Mesra SMJ

KOTA KINABALU: Seorang penjawat awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah selepas disyaki menyalahgunakan kuasa dengan mengesyorkan ahli keluarganya yang tidak layak sebagai penerima Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ).

Lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira jam 9.50 pagi Isnin ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sandakan.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan berkenaan pada 2022 dengan mengesyorkan nama bapa mentua dan adik iparnya sebagai penerima bantuan perumahan itu.

“Rumah yang dibina atas nama kedua-dua penama terbabit dilaporkan siap pada 2023.

“Namun sehingga 2025, rumah berkenaan masih belum didiami, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap kelayakan sebenar penerima dan berpotensi menjejaskan objektif program bantuan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana menyalahgunakan jawatan atau kedudukan.

“Suspek akan dituduh di Mahkamah Sesyen Sandakan esok,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama