KOTA KINABALU: Penganjuran Karnival Tahun Baharu Cina 2026
membuktikan keupayaan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memperkukuh
kedudukan ibu negeri ini sebagai hab pelancongan budaya yang progresif dan
inklusif.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston
Bangkuai berkata kejayaan karnival itu mencerminkan komitmen pihak berkuasa
tempatan dalam mengurus acara berskala besar secara tersusun dan berimpak
tinggi kepada ekonomi bandar.
"Sebagai pintu masuk utama ke Sabah, perayaan seperti
ini menambah nilai kepada pengalaman pengunjung dan pelancong yang berada di
sini.
"Inisiatif ini selaras dengan usaha menjadikan Kota
Kinabalu sebagai hub pelancongan yang bukan sahaja dinamik dari segi
pembangunan, malah kaya dengan nilai tradisi.
"Pembangunan bandaraya perlu seiring dengan kreativiti
komuniti tempatan bagi mewujudkan lebih banyak tarikan pelancongan baharu yang
mampu menarik minat pelancong domestik dan antarabangsa," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan
Karnival Tahun Baharu Cina 2026 yang diadakan di Lintasan Deasoka, pada Rabu.
Beliau yang juga menteri bertanggungjawab bagi hal ehwal
DBKK menggalakkan komuniti Cina tempatan terus memainkan peranan aktif dengan
menyumbangkan idea dan kepakaran dalam memperkasa sektor pelancongan bandar
demi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Selain itu, Joniston berharap semangat perpaduan dan
kerjasama yang dipamerkan sepanjang karnival tiga hari anjuran Gabungan
Persatuan Cina Sabah (FCAS) dan DBKK tersebut diteruskan demi kesejahteraan dan
kemajuan negeri Sabah.
Hadir sama, Mayor DBKK Datuk Seri Dr. Sabin Samitah dan
Presiden FCAS Tan Sri Dr. TC Goh.
