Perselisihan hubungan, tuntutan wang pertunangan punca kes bunuh wanita dikerat tujuh bahagian di Indah Permai

KOTA KINABALU :  Perselisihan faham hubungan peribadi dan tuntutan wang pertunangan dipercayai menjadi punca kejadian bunuh yang membawa kepada penemuan beberapa bahagian anggota tubuh manusia di kawasan pembuangan sampah di Pekan Indah Permai, Menggatal, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata susulan penemuan itu, dua lelaki tempatan berusia 71 dan 19 tahun ditahan dalam operasi berasingan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menjalankan operasi di Kampung Sri Kenangan, Sepanggar, selepas menerima maklumat daripada saksi pada kira-kira 4.30 petang.

“Saksi memaklumkan mangsa pernah dilihat berlari keluar dari sebuah rumah dalam keadaan cemas sebelum ditarik masuk semula oleh seorang lelaki," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Susulan itu, seorang lelaki berusia 71 tahun ditahan pada kira-kira 8.10 malam di Unit Kecemasan Hospital Queen Elizabeth II, manakala seorang lagi lelaki berusia 19 tahun diberkas pada kira-kira 10.30 malam di sebuah unit kediaman di Taman Seri Maju Apartment, Sepanggar.

Polis turut merampas beberapa barangan termasuk telefon bimbit, pakaian dipercayai dipakai semasa kejadian serta sebuah kenderaan jenis Nissan X-Trail berwarna keemasan.

Syed Lot berkata hasil soal siasat awal mendapati suspek utama mengaku terlibat dalam kejadian tersebut.

'Kedua-dua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi IPD Kota Kinabalu atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama