Cabul anak tiri, pengawal keselamatan dipenjara 9 tahun, 4 sebatan

Tertuduh dijatuhi hukuman dipenjara 9 tahun dan 4 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Tawau atas kesalahan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tiri perempuan, tahun lalu. Foto | SS.

TAWAU : Mahkamah Sesyen di sini, pada Isnin menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun dan empat sebatan keatas seorang lelaki yang mengaku bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tirinya tahun lalu.

Hukuman itu diputuskan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya membuat keputusan itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh berusia 51 tahun itu dan mensabitkannya dengan pertuduhan.

Mengikut pertuduhan bapa kepada empat anak itu didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan maksud seksual terhadap anak tiri perempuan berumur 14 tahun sepuluh bulan (ketika kejadian) yang mana tertuduh mempunyai hubungan amanah dengannya. 

Perbuatan itu didakwa dilakukan di rumah mereka di sebuah Taman Perumahan dekat sini, kira-kira jam 1.55 pagi, 9 Januari tahun lalu.

Atas kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 Akta yang sama dan boleh dihukum dibawah Seksyen 14 dan Seksyen 16(1) Akta yang sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Haikal Hazwan Md Yatin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam rayuannya, tertuduh memohon agar hukuman diringankan dengan alasan menghidap komplikasi buah pinggang tahap empat yang memerlukan rawatan dialisis secara berkala seperti disarankan doktor. 

Selain itu, beliau turut memaklumkan perlu menanggung empat orang anak yang masih bersekolah, terdiri daripada dua anak tiri dan dua anak kandung, di samping memikul tanggungjawab menjaga ibunya yang terlibat dalam kemalangan.

Bagaimanapun Muhammad Haikal dalam hujahan pemberatan hukuman memohon hukuman berat mengambil kira faktor tertuduh adalah bapa tiri yang mempunyai hubungan amanah dengan mangsa. 

Beliau menegaskan bahawa walaupun tertuduh sebagai bapa tiri sepatutnya melindungi, membimbing, dan menjadi teladan terpuji kepada mangsa di bawah jagaan beliau, tertuduh sebaliknya tergamak mengkhianati amanah tersebut dengan melakukan perbuatan tidak bermoral dan jijik.

"Pendakwaan percaya Mahkamah sedia maklum bahawa kesalahan di bawah seksyen ini semakin membimbangkan dan kian berleluasa, bukan sahaja di Negeri Sabah malah di seluruh negara.

"Sehubungan itu, dalam situasi jenayah seksual yang semakin cenderung menjadi suatu kelaziman, Mahkamah yang mulia ini wajar memberi mesej yang tegas dan jelas kepada masyarakat bahawa kesalahan sebegini dipandang serius serta tidak akan diberi sebarang kompromi terhadap mana-mana pesalah," katanya.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan tertuduh dijatuhi hukuman sembilan tahun penjara dan empat kali sebatan berkuatkuasa dari tarikh tangkapan.

Selain itu, tertuduh juga dikehendaki mengikuti kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan selain menjalani perintah pengawasan polis dalam tempoh tiga tahun selepas selesai menjalani hukuman.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama