Seorang jurulatih selam skuba, Aquila Chu, 41, meluahkan kekecewaan terhadap keadaan itu selepas memuat naik beberapa gambar menunjukkan sampah terapung di perairan berkenaan menerusi Facebook sehingga tular.
Dalam hantaran itu, Chu menasihatkan pelancong yang berkunjung ke Semporna supaya terus ke pulau-pulau sekitar jika tidak mahu melihat keadaan perairan berhampiran pekan yang dipenuhi sampah.
Chu yang berasal dari Kota Kinabalu dan aktif membawa pelancong asing untuk aktiviti menyelam sejak 2023 berkata, masalah kebersihan di kawasan itu semakin teruk sejajar pertambahan penduduk dan aktiviti manusia.
“Bila manusia bertambah, sampah pun bertambah,” katanya.
Menurutnya, ramai penduduk yang tinggal di perkampungan air dan pulau sekitar tidak mempunyai kemudahan pelupusan sampah yang sesuai, menyebabkan sisa dibuang terus ke laut.
“Masalah ini bukan semata-mata soal kesedaran, tetapi ketiadaan tempat untuk buang sampah.
“Bagi golongan pendatang tanpa dokumen, isu alam sekitar bukan keutamaan apabila bekalan air bersih pun sukar diperoleh,” katanya yang juga ahli Sabah Diving Squad Club (DDC).
Sementara itu, Pengarah Program DDC, Yong Lip Khiong, berkata masalah sama turut berlaku di perairan sekitar ibu negeri Sabah dengan botol plastik menjadi sisa paling banyak ditemui.
Katanya, ada botol plastik yang sudah menjadi ‘rumah’ kepada hidupan marin, menandakan pencemaran itu berlaku dalam tempoh lama.
“Plastik bukan saja mencemarkan laut, malah memberi kesan buruk kepada hidupan marin dan burung laut.
“Bila laut tercemar, akhirnya manusia juga yang menjadi mangsa,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa tanggungjawab menjaga kebersihan laut bukan hanya terletak pada kerajaan, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak.
“Kurangkan guna plastik, asingkan sampah, kitar semula dan jangan buang sampah merata-rata.
“Kalau semua main peranan, laut kita boleh kembali bersih dan terus dinikmati generasi akan datang,” katanya.
