Ayam sejuk beku tanpa kelulusan bernilai RM268,000 dirampas di Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (DVS Sabah) berjaya merampas sebanyak 27,000 kilogram produk paha ayam sejuk beku yang dipercayai dibawa masuk tanpa permit import sah dalam satu operasi penguatkuasaan hasil risikan di sekitar Kota Kinabalu.

Serbuan pada 30 Januari 2026 itu diketuai oleh DVS Wilayah Kota Kinabalu melibatkan pemeriksaan sebuah kontena 40 kaki di Pelabuhan Sepanggar, sebelum tindakan susulan diambil di sebuah premis bilik sejuk di Inanam Laut.

Pemeriksaan mendapati pemilik gagal mengemukakan sebarang permit atau lesen import yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar, sekali gus melanggar peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

Susulan itu, tindakan sitaan telah diambil ke atas keseluruhan produk berkenaan dengan nilai anggaran rampasan sebanyak RM268,410, selaras dengan peruntukan undang-undang berkaitan kawalan import produk haiwan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, menzahirkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada pasukan DVS Sabah atas kejayaan operasi berkenaan.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri memandang serius sebarang cubaan membawa masuk produk makanan tanpa kelulusan sah kerana tindakan sedemikian boleh menjejaskan keselamatan makanan, kesihatan awam serta aspek biosekuriti negeri.

“Kerajaan Sabah tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang berkaitan keselamatan makanan. Operasi ini membuktikan ketegasan dan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan hanya produk yang mematuhi piawaian dan peraturan dibenarkan berada di pasaran,” katanya.

Sementara itu, Pengarah DVS Sabah, Dr Zul Bahar, menjelaskan bahawa operasi tersebut dilaksanakan secara terancang dan berperingkat melibatkan kerjasama pelbagai unit di bawah DVS Sabah.

Menurut beliau, operasi berkenaan melibatkan Unit Penguatkuasaan DVS Wilayah Kota Kinabalu, Unit Pemeriksa Veterinar serta Unit Kuarantin DVS KKIA/Kargo, selaras dengan komitmen berterusan jabatan itu dalam memperkukuh keselamatan makanan dan biosekuriti negeri.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia atas kerjasama erat dan sokongan padu yang diberikan sehingga operasi berkenaan berjaya dilaksanakan dengan berkesan dan berintegriti.

Kerajaan Negeri Sabah menegaskan bahawa penguatkuasaan bersepadu akan terus dipertingkatkan bagi memastikan rantaian bekalan makanan di negeri ini kekal selamat, berkualiti dan mematuhi undang-undang demi melindungi kepentingan pengguna.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama